Khamis, 19 Mac 2009

PNGK di sekolah rendah

PUTRAJAYA 18 Mac - Mulai tahun depan penilaian murid-murid darjah satu akan dibuat berasaskan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) seperti yang diguna pakai di universiti.

Hasil program perintis sistem tersebut yang dilaksanakan di 50 buah sekolah tahun lalu mendapati ia sesuai dilaksanakan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom (gambar) berkata, mengikut Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, peperiksaan yang berasaskan sekolah akan bermula tahun depan selaras dengan transformasi pendidikan.

''Kurikulum pelajaran akan disusun semula untuk mewujudkan kreativiti di kalangan pelajar, mengukuhkan penguasaan bahasa Inggeris, keusahawanan, sejarah dan menjadikan sekolah sebagai tempat belajar yang seronok," katanya selepas menghadiri Mesyuarat Induk Menangani Gejala Disiplin Murid di sini semalam.

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya tidak akan terburu-buru melaksanakan perubahan itu dan akan memulakannya di peringkat darjah satu dan prasekolah.

''Kita akan adakan persidangan meja bulat dan bengkel serta mengumpulkan pandangan pakar-pakar akademik dan pertubuhan bukan kerajaan.

''Jika kita mendapati perubahan ini boleh dijalankan, maka kita akan memperkenalkannya pada tahun satu dan prasekolah bermula tahun depan," katanya.

Alimuddin berkata, penilaian berasaskan sekolah sebenarnya bukan perkara yang baru tetapi telah dijalankan melalui ujian bulanan dan ujian akhir tahun di sekolah.

Beliau bagaimanapun menegaskan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak akan dimansuhkan sebaliknya ia mewakili 30 peratus dalam penilaian prestasi pelajar.

''Empat elemen yang akan dinilai ialah psikometrik pelajar, pencapaian ko-kurikulum, peperiksaan berasaskan sekolah dan peperiksaan yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan," katanya.

Utusan Malaysia Online: 19 Mac 2009

Tiada ulasan: