Sabtu, 14 Mac 2009

Mutakhir:Tempoh 3 bulan tunggu SPM, STPM tak perlu dipertikai

KUALA LUMPUR: Tempoh tiga bulan untuk memeriksa kertas jawapan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tidak perlu dipertikaikan, kata Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata tempoh itu diperlukan bagi memastikan setiap prosedur yang dibuat untuk memeriksa kertas jawapan berjalan dengan telus.

"Dakwaan bahawa tempoh menunggu yang dirasakan terlalu panjang sebelum pelajar mengetahui keputusan SPM dan STPM mereka merupakan satu perkara yangtiada asas langsung," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Buku Laluan Kerjaya Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator T Murugiah bahawa Biro Pengaduan Awam (BPA) telah menerima cadangan supaya Kementerian Pelajaran memendekkan tempoh menunggu yang dirasakan terlalu panjang sebelum pelajar mengetahui keputusan STPM dan SPM mereka.

Hishammuddin berkata tempoh tiga bulan itu diperlukan kerana prosedur untuk memeriksa kertas jawapan bagi peperiksaan awam itu agak banyak iaitu 16 prosedur untuk STPM dan 29 prosedur untuk SPM.

"Sebanyak 16 proses yang terpaksa dilalui sebelum keputusan STPM dibuat, saya tidak tahu apa sebabnya ia dipertikaikan sekarang," katanya. - Bernama

Berita Harian Online: 13 Mac 2009

Tiada ulasan: