Khamis, 12 Mac 2009

Pencapaian sekolah meningkat


sufa'at Tumin bersama sebahagian pelajar cemerlang peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia di SMK Sultan Ismail, Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 10 Mac - Walaupun keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2008 di negeri ini mengalami sedikit penurunan dari segi jumlah calon yang lulus penuh, namun jumlah sekolah yang mencatat kelulusan 100 peratus menunjukkan peningkatan.

Pengarah Pelajaran Negeri Johor, Sufa'at Tumin berkata, jumlah calon yang lulus penuh merosot 0.08 peratus berbanding pencapaian 96.80 peratus tahun 2007.

"Seramai 4,902 pelajar yang menduduki STPM 2008 dan hanya 4,741 pelajar iaitu 96.72 peratus calon lulus penuh atau sekurang-kurangnya mendapat satu prinsipal bagi mata pelajaran yang diambil.

"Namun, kita tetap berbangga kerana 31 sekolah mencapai 100 peratus lulus penuh berbanding 22 buah sekolah pada 2007," katanya pada sidang akhbar mengumumkan keputusan STPM 2008 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail di sini hari ini.

Menurut Sufa'at, antara sekolah yang mencapai keputusan cemerlang itu ialah SMK Bukit Pasir di Muar, SMK Tengku Temenggong Ahmad (Muar), SMK Tenggaroh A (Mersing) dan SMK Gelang Patah (Johor Bahru)

Katanya, selain itu ialah SMK Taman Kluang Barat (Kluang), SMK Dato' Mohd. Yunos Sulaiman (Pontian), SMK Dato' Onn (Batu Pahat) dan SMK (P) Sultan Ibrahim (Johor Bahru).

Beliau berkata, dua sekolah baru turut mencapai kelulusan 100 peratus lulus penuh iaitu SMK Lenga, Muar dan SMK Tan Sri Jaafar Albar, Kota Tinggi.

Menurutnya, walaupun Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) Johor pada 2008 hanya 2.35 mata iaitu merosot 0.01 mata berbanding PNGK 2007 (2.36 mata), namun 37 sekolah berjaya meningkat dari segi PNGK iaitu antara 0.01 mata hingga 1.08 mata berbanding pencapaian 2007.

Katanya, antara sekolah tertinggi yang mencapai PNGK ialah SMK Bandar Tenggara di Kulai, SMK Bukit Pasir (Muar), SMK Sultan Abu Bakar (Muar).

Dalam pada itu, beliau memberitahu, 34 calon mencapai keputusan cemerlang (PNGK 4.00) mewakili 0.69 peratus daripada jumlah calon yang menduduki STPM.

"Tiga calon mengambil lima mata pelajaran dan 31 calon mengambil empat mata pelajaran," katanya.

Menurut Sufa'at, sekolah yang mencapai keputusan cemerlang tertinggi ialah SMK Sultan Ismail, Johor Bahru (6.67 peratus), SMK (P) Sultan Abu Bakar, Muar (5.00 peratus) dan SMK (P) Sultan Ibrahim, Johor Bahru (4.17 peratus).

Katanya, 22 mata pelajaran diambil oleh calon STPM 2008 dan mata pelajaran yang menjadi tumpuan ialah Bahasa Melayu, Pengajian Perniagaan, Ekonomi, Sejarah, Geografi, Kimia, Matematik T, Seni Visual, Biologi dan Fizik.

Tambah beliau, 10 mata pelajaran calon STPM 2008 meningkat dari segi kuantiti (2.20 hingga 19.42 peratus) dan kualiti iaitu 0.01 mata hingga 0.62 mata.

Utusan Malaysia Online: 11 Mac 2009

Tiada ulasan: