Pilihan raya merupakan suatu perkara asing dalam alam persekolahan harian di negara ini. Walaupun belum mencecah usia 21 tahun, pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Hamzah, Pelabuhan Kelang, telah berpeluang untuk membuang undi dan merasai amalan sistem demokrasi dijalankan di negara ini.
Ini adalah hasil usaha pihak sekolah mewujudkan pilihan raya Pemilihan Ketua Pemimpin Pelajar Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) 2009 yang membenarkan semua pelajar termasuk guru-guru sekolah memilih sendiri Ketua Pelajar sekolah itu.
Menurut Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PKHEM), Abdul Ghaffar Bakar, Ketua Pelajar Sekolah adalah berbeza dengan Ketua Pengawas Sekolah kerana Ketua Pengawas Sekolah dipilih sendiri oleh pihak sekolah manakala Ketua Pelajar Sekolah adalah pilihan pelajar dan guru.
Tiga calon Ketua Pelajar Sekolah dipilih daripada kalangan Ketua atau Presiden Persatuan, Kelab dan Badan-badan Beruniform di sekolah berkenaan setelah nama mereka disenarai pendekkan daripada tujuh calon.
Bagi MPP 2009 calon-calon yang terpilih ialah Muhd Syafiq Othman, 17, yang merupakan Ketua Pengawas Sekolah, Nurliyana Abd. Malek, 19, pelajar tingkatan enam atas yang juga Ketua Kelab Pencegahan Jenayah dan Andy Darrel Gomes, 19, pelajar tingkatan enam atas, Timbalan Ketua Pengawas.
Apa yang menarik seperti mana pilihan raya umum, pelajar juga turut diberi tempoh untuk berkempen menggunakan pendekatan tersendiri dan tempoh diberi selama tiga hari.
Setiap calon mengeluarkan wang sendiri untuk membiayai kos berkempen termasuk memasang kain pemidang, risalah-risalah malah ada yang memberi `buah tangan' berupa gula-gula yang dilekatkan nama calon dengan perkataan `undilah saya'.
Malah satu perhimpunan khas diadakan di sekolah itu semata-mata untuk memberi peluang calon-calon berceramah, berpidato dan membentangkan manifesto masing-masing selama tujuh minit di hadapan para pelajar lain dan guru-guru.
Dengan moto MPP `Daripada Pelajar Untuk Pelajar' setiap pelajar bebas menggunakan sebarang pendekatan kempen dengan mematuhi peraturan yang ditetapkan dan tanpa campur tangan pihak luar mahupun memainkan isu-isu semasa dan politik.
Menurut Abdul Ghaffar, idea untuk membentuk MPP di sekolah tersebut telah lama dibincangkan bertujuan meningkatkan imej sekolah dan pelajar malah semasa mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah, perkara tersebut mendapat sokongan ibu bapa.
``Pilihan raya ini juga adalah untuk mengasah bakat kepimpinan para pelajar kerana adalah tidak adil bagi pelajar jika bakat memimpin tidak diserlahkan di samping kita mahu mengenal pasti kewibawaan pelajar,'' katanya.
Jika Ketua Pengawas Sekolah diberi tugas untuk menjaga disiplin pelajar sekolah, Ketua Pelajar Sekolah dan barisan MPP mempunyai tugas yang berbeza.
Mereka akan mengambil alih tugas mengurus dan mengendalikan perhimpunan rasmi, majlis-majlis dan sambutan perayaan di sekolah seperti Hari Guru dan Hari Kantin yang selalunya dikendali oleh pihak guru.
``Kali ini kita beri pelajar untuk menguruskan hal ini dan guru sebagai pemantau kerana kalau kita tidak buat macam ini kita tidak tahu bakat kepimpinan mereka,'' katanya.
Menurut beliau selepas pemilihan dan pelantikan MPP, kesemua barisan kepimpinan MPP akan mengikuti kursus kepimpinan selama dua hari yang akan dikendalikan oleh guru-guru dan tokoh motivator luar.
Mereka akan didedahkan dengan pelbagai aspek kepimpinan termasuk protokol, pengurusan majlis rasmi dan cara-cara mengendalikan mesyuarat.
Namun begitu Abdul Ghaffar yang merupakan Pengerusi Majlis Timbalan Ketua HEM Daerah Kelang berkata, pilihan raya yang dilaksanakan itu hanya menyumbang 20 peratus daripada pengundian pemilihan Ketua MPP manakala markah pemilihan lain dibuat berdasarkan temuduga (40 peratus) yang dikendalikan oleh guru dan persembahan pidato sebanyak 40 peratus.
``Ini kerana kami tidak mahu Ketua Pelajar yang dipilih adalah berdasarkan populariti mereka dalam kalangan pelajar dan guru tetapi kami mahu mereka yang benar-benar bertanggungjawab sebagai seorang ketua,'' katanya.
Pelajar-pelajar yang membuang undi untuk pemilihan Ketua Pelajar MPP tahun ini terdiri daripada pelajar tingkatan 3, 4, 5 dan 6 Atas dan pada tahun depan pemilihan akan dibuat lebih awal untuk memberi peluang kepada pelajar tingkatan 1 dan 2 termasuk pelajar tingkatan 6 Bawah.
Sementara itu proses pembuangan undi di dewan sekolah berkenaan berjalan lancar bermula pada pukul 8.00 pagi dan berakhir kira-kira pukul 12.00 tengahari.
Kira-kira 1,000 pelajar dan 70 guru membuang undi pada pilihan raya kali ini dan proses itu dibuat ketika di akhir pengajaran dan pembelajaran (P&P) mata pelajaran dengan pelajar setiap kelas diiringi guru untuk proses tersebut.
Proses pengiraan undi dijalankan sebaik sahaja tamat tempoh pengundian di hadapan calon-calon dan penyokong masing-masing dan keputusan memihak kepada Andy Darrel Gomes dengan jumlah undi sebanyak 406, Mohd Syafiq menerima 175 undi dan Nurliyana mendapat 64 undi manakala sebanyak 29 adalah undi rosak.
Proses itu dikendali oleh Ketua dan Presiden Kelab-Kelab, Persatuan dan Badan Beruniform dengan dipantau oleh guru penyelaras dan guru penasihat Norliza Mat Radzi dan Aliaton Izzaty Datuk Aziz.
Norliza yang merupakan bekas Panitia Sejarah dan Ketua Guru Disiplin sekolah berkenaan kini menjalani praktikal Kursus Profesional Perkhidmatan Pendidikan Kebangsaan (NPQEL) selama lima bulan di sekolah itu untuk dilatih menjadi pemimpin pendidikan sekolah.
Katanya, pilihan raya itu adalah salah satu daripada usahanya untuk mendedahkan pelajar tentang proses pilihan raya yang sering dibaca oleh pelajar dalam mata pelajaran Sejarah di samping merasai sendiri amalan demokrasi sebenar.
Portal Pendidikan Utusan : 26 Mac 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan