Sabtu, 14 Mac 2009

10,080 dapat 10 A atau lebih

Oleh HELMI MOHD. FOAD


ALIMUDDIN Mohd. Dom menunjukkan laporan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2008 pada sidang akhbar pengumumannya di Putrajaya, semalam.

Seramai 10,080 daripada 442,936 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008 di seluruh negara berjaya memperoleh kelulusan 10 A atau lebih dalam mata pelajaran yang diambil.

Sebanyak 1,676 calon atau 0.43 peratus pula berjaya mendapat gred 1A dalam semua mata pelajaran yang diambil dengan seorang calon berjaya mencatat 16 1A, 15 1A (dua orang) dan 14 1A (enam orang).

Mereka yang memperoleh 9 A pula seramai 5,863 calon, manakala 5,909 lagi mendapat 8 A.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom ketika mengumumkan keputusan peperiksaan itu hari ini berkata, daripada jumlah keseluruhan calon, seramai 347,443 atau 90.8 peratus calon mendapat sijil SPM.

Selain itu, katanya, seramai 6,277 calon atau 1.6 peratus berjaya dengan cemerlang memperoleh gred A bagi semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 5,060 (1.31 peratus) pada 2007.

Menurut beliau, pada keseluruhannya, pencapaian calon SPM terutama calon sekolah di bawah kementerian adalah membanggakan dan mengatasi pencapaian tahun sebelumnya.

‘‘Pencapaian mereka meningkat dari segi peratusan bilangan memperoleh sijil, mendapat semua A dan lulus semua mata pelajaran yang diduduki.

‘‘Pencapaian tersebut adalah stabil seperti mana pencapaian tahun-tahun sebelumnya,” kata beliau pada sidang akhbar pengumuman keputusan SPM 2008 di pejabatnya di sini.

Dalam peperiksaan tersebut, seramai 388,079 atau 87.6 peratus adalah calon sekolah kementerian, manakala selebihnya adalah calon sekolah kerajaan negeri, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Kementerian Pertahanan, sekolah swasta dan persendirian.

Mengenai prestasi mata pelajaran teras, Alimuddin berkata, Bahasa Melayu mencatatkan kenaikan kepada 25.4 peratus bagi calon yang mendapat gred A1 dan A2 berbanding tahun 2007 (23.7 peratus).

Katanya, mata pelajaran Sejarah dan Pendidikan Moral, masing-masing mencatat peningkatan 2.8 peratus dan 3.8 peratus.

Tambah beliau, subjek Matematik pula mencatatkan sebanyak 26.5 peratus pelajar mendapat gred 1A-2A dengan peningkatan 1.1 peratus, manakala Sains meningkat ketara iaitu 3.1 peratus apabila 6.9 peratus pelajar mendapat gred 1A-2A.

Bagaimanapun, jelas beliau, prestasi pencapaian Bahasa Inggeris menurun sebanyak 1.6 peratus bagi calon yang mendapat gred 1A-2A, manakala Pendidikan Islam menurun 5.4 peratus.

Alimuddin seterusnya berkata, keputusan SPM 2008 turut menunjukkan jurang perbezaan pencapaian antara murid bandar dan luar bandar telah dapat dirapatkan.

‘‘Ini dapat dilihat daripada kenaikan prestasi mata pelajaran daripada 2007 ke 2008 yang lebih tinggi di luar bandar berbanding bandar.

‘‘Begitu juga penurunan peratus bilangan calon mendapat gred 9C (Gagal) lebih tinggi di kawasan luar bandar berbanding bandar,” katanya.

Portal Pendidikan Utusan: 14 Mac 2009

Tiada ulasan: