Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my
GMGBM mahu perkara diselesai secara baik tanpa unsur politik
KUALA LUMPUR: Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM) kesal terhadap tindakan pihak tertentu yang sanggup memperalatkan isu dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) untuk kepentingan politik, kerana dikhuatiri boleh memberi kesan negatif terhadap pendidikan negara.
Yang Dipertuanya, Ruslan Madon, berkata parti pembangkang yang didakwa menjadi dalang penganjuran demonstrasi jalanan membantah dasar itu Sabtu lalu bagi mencapai kepentingan politik, menggambarkan seolah-olah mereka ingin menonjolkan diri sebagai pejuang isu berkenaan.
"Pihak berkenaan seperti mengambil kesempatan dalam pergolakan isu dasar PPSMI yang sedang berlaku. Bagi GMGBM, biarlah perkara ini diselesaikan dengan baik tanpa perlu ada pihak mengambil kesempatan mengucar-kacirkan keadaan atas motif politik.
"GMGBM menaruh sepenuh kepercayaan terhadap keikhlasan Menteri Pelajaran berusaha menyelesaikan isu PPSMI kerana sekiranya tidak, beliau tidak akan membuka ruang kepada semua pihak berkepentingan, termasuk persatuan, badan bukan kerajaan dan parti politik untuk memberi input melalui beberapa siri persidangan meja bulat.
"Guru besar sentiasa menyokong penuh kepemimpinan Kementerian Pelajaran dan faham penentuan keputusan dasar yang akan diambil perlu mengambil masa. Sebagai pelaksana peringkat akar umbi, GMGBM akan akur kepada sebarang keputusan ditetapkan kelak berhubung dasar PPSMI," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Laporan akhbar semalam memetik Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, sebagai mendakwa parti pembangkang menjadi dalang penganjuran demonstrasi jalanan membantah dasar itu bagi mencapai kepentingan politik mereka.
Malah, laporan akhbar sebelum ini memetik Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, sebagai percaya kekecohan yang berlaku pada perhimpunan membantah pelaksanaan PPSMI di sini, Sabtu lalu, disebabkan ada campur tangan parti politik.
Ruslan berkata, GMGBM turut mendapat jemputan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) untuk menghadiri mesyuarat mereka bagi membincangkan bantahan terhadap PPSMI, tetapi menolaknya kerana tidak mahu terbabit.
Bagaimanapun, beliau berkata, kemelut isu PPSMI tidak menjejaskan tumpuan warga pendidikan, khususnya guru besar dan guru, untuk melaksanakan dasar sedia ada di sekolah, termasuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan tenaga pengajar dua mata pelajaran itu.
"Pelaksanaan PPSMI di sekolah tetap berjalan dengan lancar seperti biasa demi kepentingan murid. Warga sekolah tidak berasa keliru mahupun terpengaruh dengan kemelut sedang berlaku di luar ini," katanya.
Sementara itu di Kuching, Bernama melaporkan Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU), William Ghani Bina, berkata keputusan pelaksanaan PPSMI tidak harus dipengaruhi sentimen perkauman dan fahaman politik.
Beliau berkata, Kabinet hendaklah membincangkan isu pelaksanaan PPSMI secara terperinci dan mendalam berdasarkan fakta, angka dan kajian demi masa depan anak yang bakal memikul tanggungjawab membangunkan negara.
"Kini, keputusan berhubung pelaksanaan PPSMI terletak di tangan Kabinet. STU berharap Jemaah Menteri akan membincangan isu pelaksanaan PPSMI ini secara profesional berdasarkan hujah dan pandangan semua pihak.
"STU berharap keputusan muktamad mengenai PPSMI tidak dibuat secara terburu-buru. Pandangan semua pihak harus diambil kira tanpa tekanan politik," katanya.
Ghani Bina yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bersama Kesatuan Penguruan Sarawak dan Sabah berkata, sebarang keputusan mengenai PPSMI harus dihormati dan diakur semua pihak.
"Jangan buat kecoh lagi apabila keputusan Kabinet diumumkan mengenai pelaksanaan PPSMI nanti. Sebarang keputusan, saya yakin ia dibuat demi masa depan generasi muda kita," katanya.
Berita Harian Online: 10 Mac 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan