Khamis, 12 Mac 2009

Keputusan STPM 2008: 276 lulus penuh

KOTA KINABALU 10 Mac - Seramai 5,122 pelajar atau 88.49 peratus daripada 6,129 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di seluruh Sabah lulus penuh dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun lalu.

Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Normah Gagoh berkata, daripada jumlah itu, 276 calon lulus penuh dalam lima mata pelajaran (5P) dan 1,668 berjaya mendapat 4P.

Katanya, 1,200 pelajar mendapat 3P, 1,014 mendapat 2P dan 964 berjaya mendapat 1P.

"Dengan keputusan ini, peratusan calon STPM di Sabah yang lulus penuh meningkat 0.8 peratus berbanding 87.69 peratus pada 2007 kepada 88.49 peratus tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, mengikut pencapaian individu, hanya seorang pelajar berjaya mendapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0 dengan keputusan 5P, iaitu Redvin Bilu dari SMK Telupid, Sandakan.

Sementara itu, Normah berkata, 12 sekolah di negeri ini mencatat keputusan lulus 100 peratus pada STPM 2008.

Sekolah-sekolah tersebut ialah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Tiong Hua, Sekolah Menengah (SM) St. Mary dan SM Sung Siew di Sandakan dan SM All Saints serta Sekolah Tinggi Kota Kinabalu, di Kota Kinabalu.

Beliau berkata, dua sekolah di Tawau yang mencatat keputusan lulus 100 peratus ialah SMK Tawau dan SMK Kuhara.

"Daerah lain, Kota Belud, Semporna, Beaufort, Lahad Datu dan Ranau hanya merekodkan sebuah sekolah yang mencatat keputusan 100 peratus lulus penuh," katanya.

Beliau berkata, daripada 22 mata pelajaran yang ditawarkan, 11 mata pelajaran menunjukkan peningkatan dari segi peratusan kelulusan.

Utusan Malaysia Online: 11 Mac 2009

Tiada ulasan: