Selasa, 10 Mac 2009

Isu pergaduhan di SMK Tok Janggut selesai

PASIR PUTEH 8 Mac - Pergaduhan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tok Janggut di sini Khamis lalu yang menyebabkan seorang pelajar cedera akibat dilibas dengan senjata lawi ayam tidak melibatkan sebarang unsur gengsterisme.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, ia cuma tercetus ekoran kenakalan dan kegagalan para pelajar terbabit mengawal emosi apabila timbul rasa tidak puas hati dalam hal yang terlalu remeh.

"Para pelajar pada peringkat usia ini cepat marah dan gagal menilai kesan daripada tindakan yang mereka lakukan.

"Pergaduhan yang berlaku tidak dipengaruhi oleh kegiatan gengsterisme kerana hanya pelajar-pelajar ini yang terlibat," katanya kepada pemberita ketika melakukan lawatan ke sekolah itu hari ini.

Beliau mengadakan pertemuan dengan ibu bapa lima pelajar terbabit dalam kes pergaduhan Khamis lalu bagi menjelaskan tindakan yang diambil di samping mempertemu dan mendamaikan para pelajar berkenaan.

''Biarlah kita bermuafakat untuk mengatasi masalah ini. Jangan diperbesar dan dipanjangkan demi masa depan anak-anak kita," katanya.

Difahamkan dalam kejadian Khamis lepas, jelingan seorang pelajar tingkatan tiga, Mohd. Amirul Mohd. Afandi, 15, telah menimbulkan kemarahan dua pelajar senior sehingga tercetus pergaduhan dan salah seorang daripadanya mencederakan mangsa menggunakan lawi ayam.

Alimuddin berkata, pihak sekolah telah pun menjatuhkan hukuman setimpal kepada lima pelajar terbabit sebagai satu pengajaran kepada mereka dan pelajar lain.

Katanya, pelajar yang menyebabkan kecederaan, Wan Mohd. Alias Wan Talib dikenakan tindakan buang sekolah manakala rakannya, Ahmad Jazli Mohd. Azhar, 16, digantung sekolah selama dua minggu.

"Pelajar yang cedera juga dikenakan tindakan gantung sekolah selama seminggu bersama dua lagi rakannya yang didapati menimbulkan provokasi iaitu Wan Fidrol Azuan, 15, dan Nik Khairuhaizam Nik Ley, 15,'' jelasnya.

Menurut Alimuddin, setelah meneliti kes itu beliau berpendapat, masih terdapat kelemahan pihak sekolah yang perlu diperbaiki khususnya dalam aspek kawalan murid.

''Tindakan awal perlu diambil bagi mengatasi sebarang tingkah laku pelajar yang mencurigakan dan jangan tunggu sehingga insiden yang tidak diingini berlaku," ujarnya

Sehubungan itu, beliau juga menyeru semua pengarah pelajaran negeri dan pegawai pelajaran daerah untuk memantau keadaan seumpama ini.

Sementara itu, Alimuddin meminta semua sekolah segera mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Permuafakatan Sekolah untuk menangani gejala buli yang semakin meningkat.

Jelasnya, mesyuarat yang turut membabitkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), polis serta pemimpin masyarakat itu diharap dapat mencari penyelesaian terbaik berhubung masalah tersebut.

Utusan Malaysia Online: 9 Mac 2009

Tiada ulasan: