Rabu, 11 Mac 2009

Tindakan guru guna dwibahasa punca pelajar luar bandar gagal dalam peperiksaan

SAYA bekas pelajar generasi kedua dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan saya berasa terpanggil mengutarakan pandangan dan pengalaman saya selama ini.

Masalah utama dasar PPSMI ialah penggunaan dwibahasa dalam peperiksaan umum. Sepatutnya kerajaan hanya menggunakan bahasa Inggeris, seperti termaktub dalam dasar PPSMI. Faktor inilah yang sebenarnya menyebabkan kegagalan dasar ini.

Guru lebih banyak menggunakan bahasa Melayu berbanding bahasa Inggeris atau menggunakan hampir 100 peratus bahasa Melayu ketika mengajar. Malah, majoriti pelajar juga menjawab soalan peperiksaan menggunakan bahasa Melayu kerana mereka diberi pilihan untuk tidak menjawab dalam bahasa Inggeris.

Jika kerajaan serius melaksanakan dasar PPSMI, gunakan hanya satu bahasa. Barulah pencapaian sebenar pelajar dapat dinilai. Tetapi jika Lembaga Peperiksaan bersikap tidak telus dalam menetapkan gred peperiksaan umum, maka pencapaian sebenar pelajar akan terus tidak diketahui.

Di sini dapat dilihat bahawa dasar PPSMI tidak berjalan seperti yang sepatutnya, terutama di kawasan luar bandar. Saya pernah bersekolah di sebuah sekolah bestari di Kuching. Guru menggunakan hampir 100 peratus bahasa Inggeris ketika mengajar dan hanya menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam peperiksaan bulanan.

Pelajar tidak menghadapi masalah membiasakan diri dengan dasar PPSMI kerana mereka sudah dibiasakan sejak mula bersekolah. Berlainan pula halnya ketika saya bersekolah di luar bandar.

Guru menggunakan kedua-dua bahasa ini, malah pada waktu tertentu menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya. Malah, soalan peperiksaan yang disediakan Jabatan Pelajaran Negeri menggunakan dwibahasa.

Pelajar akhirnya menjawab soalan peperiksaan menggunakan bahasa Melayu kerana secara umumnya, mereka diajar menggunakan bahasa itu dan mereka tidak dibiasakan untuk menggunakan bahasa Inggeris.

BEKAS PELAJAR,
Dungun, Terengganu.

Berita Harian Online: 10 Mac 2009

Tiada ulasan: