Rabu, 11 Mac 2009

Sains, Matematik dwibahasa

MELAKA 9 Mac - Kerajaan dicadangkan memberi pilihan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam dwibahasa itu untuk mengelak pertikaian yang berterusan sehingga ia menjadi isu politik.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam ketika mencadangkan perkara itu berkata, beliau yakin, jika cadangan itu dilaksanakan, ia dapat menghentikan pergolakan terhadap PPSMI yang cuba dipolitikkan seperti apa yang berlaku hari ini.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, ada juga sebahagian ahli UMNO dan parti pembangkang bersetuju pengajaran dua mata pelajaran itu menggunakan bahasa Melayu.

"Dengan cara ini, murid-murid akan ada pilihan, boleh buat ikut kemampuan mereka sama ada dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu," katanya pada sidang akhbar selepas sambutan Maulidur Rasul di Masjid Al-Azim, Bukit Palah dekat sini, hari ini.

Mohd. Ali berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan muka depan akhbar Utusan Malaysia di sini hari ini mengenai perhimpunan membantah pelaksanaan PPSMI yang berlangsung di Masjid Negara, semalam yang turut didalangi pembangkang.

Perhimpunan yang asalnya bertujuan menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong turut disertai beberapa pemimpin pembangkang termasuk Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selain segelintir peserta perarakan yang dilihat memakai pakaian dan membawa logo beberapa parti pembangkang.

Mengulas lanjut, Mohd. Ali berkata, beliau percaya, keadaan itu tercetus kerana kebimbangan di kalangan mereka kononnya kerajaan tidak mengutamakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

"Kerajaan telah buat satu keputusan berasaskan laporan, tapi mood orang ramai nampaknya mereka suka dalam Bahasa Melayu.

"Justeru, pendapat saya, kalau ramai rasa Bahasa Melayu perlu dipertahankan, tak apa, kita pertahankannya," katanya.

Sementara itu Majlis Belia Malaysia (MBM) juga mencadangkan supaya pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dilaksanakan dalam sistem dwibahasa, Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.

Timbalan Presiden MBM, Datuk Idris Haron berkata, kaedah itu lebih sesuai sebagai jalan tengah penyelesaian isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang bersifat menang-menang.

Menurut beliau, ini bermakna kerajaan perlu meneruskan dasar PPSMI tetapi pada masa sama turut membenarkan pelajar dan ibu bapa membuat pilihan terbaik mengikut kesesuaian kemahiran bahasa anak- anak mereka.

"Jalan terbaik ialah mengambil pendekatan menang-menang atau jalan tengah kerana selepas PPSMI diperkenalkan kira-kira enam tahun lalu, telah banyak pelaburan yang dibuat termasuk kos penerbitan buku teks dalam bahasa Inggeris dan latihan kepada guru terbabit.

"Malah pada masa sama juga terdapat para pelajar dan ibu bapa yang selesa dengan penggunaan bahasa Inggeris.

"Bagaimanapun kita tidak boleh lupakan sekumpulan pelajar lain terutama di kawasan pedalaman yang ketinggalan dalam kedua-dua subjek kerana masalah bahasa," katanya.

Utusan Malaysia Online: 10 Mac 2009

Tiada ulasan: