Khamis, 12 Mac 2009

Sabah & Sarawak: Pertukaran guru besar dibantah

Oleh Hassan Omar
bhnews@bharian.com.my


IBU bapa membantah tindakan PPD Kota Belud menukar Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pulau Mantanani, kelmarin.

PIBG minta penyelia PPD Kota Belud dikembalikan ke sekolah asal

PULAU MANTANANI (KOTA BELUD): "Kami malu anak kami langsung tidak boleh membaca, menulis dan mengira. Apabila mereka menyambung pelajaran di sekolah menengah di tanah besar, mereka pulang semula ke pulau ini kerana malu dengan kawan-kawan akibat tidak boleh membaca dan menulis.

"Bagaimanapun, sekarang anak kami sudah boleh membaca dan menulis, sekurang-kurangnya nama sendiri. Kami terhutang budi dengan Guru Besar, Cikgu Sabli Nanti yang berjaya mengubah minda kami. Jika dulu kami tidak mementingkan pelajaran anak, sekarang kami mahu anak kami berjaya dalam pelajaran."

Itulah yang diluahkan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Mantanani, Alilullah Sabti, 49, ketika ditemui wakil Berita Harian, di pulau ini, semalam.

Bagi Alilullah, kehadiran Sabli di pulau ini sejak Jun 2006 seolah-olah rahmat bagi penduduk pulau ini yang kebanyakannya bergantung hidup kepada sumber laut sejak turun-temurun.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, ibu bapa murid tidak akan membenarkan anak mereka ke sekolah, selagi guru besar terbabit tidak ditukarkan semula ke sekolah itu selepas dipindahkan ke Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kota Belud pada 2 Mac lalu.

Kira-kira 90 peratus murid daripada keseluruhan 137 murid sekolah berkenaan tidak dibenarkan ibu bapa mereka bersekolah berikutan bantahan mereka terhadap pertukaran Sabli sebagai Penyelia PPD itu.

Sejak 2 Mac lalu hingga semalam, seramai 14 guru sekolah itu tidak mampu menjalankan tugas berikutan kehadiran murid hanya antara sembilan hingga 13 orang.

Alilullah mendakwa, kebanyakan ibu bapa mahu Sabli dikekalkan berikutan kejayaannya mengubah minda ibu bapa mengenai kepentingan akademik, sekali gus menanam minat anak mereka terhadap ilmu.

Beliau mendakwa, sejak Sabli bertugas di sekolah itu, beliau berjaya mendekati ibu bapa dan murid bagi menanam minat terhadap akademik dan mengubah kaedah pembelajaran guru hingga membuahkan hasil pada peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu.

Alilullah berkata, sebelum 2008, tiada seorang pun calon UPSR sekolah itu mencatat keputusan baik hingga menyebabkan sekolah berkenaan mencatatkan peratusan sifar.

"Bagaimanapun, keputusan UPSR tahun lalu menampakkan perbezaan apabila seorang calon mendapat 3A dan dua lagi mendapat 2A.

Pulau Mantanani boleh dikunjungi dengan menaiki bot dengan perjalanan satu setengah jam dari Kuala Rampayan atau Kuala Abai, di Kota Belud.

Ada dua kampung di pulau ini, iaitu Kampung Padang dan Kampung Siring Bukit dengan penduduk kira-kira 1,100 orang yang keseluruhannya bergantung hidup sebagai nelayan tradisional, menyebabkan mereka dihimpit masalah kemiskinan dan kemiskinan tegar.

Sementara itu, Ketua Umno Cawangan Desa Nelayan, Enggu Pauh, 48, berkata Sabli berjaya mengubah minda ibu bapa dan pelajar melalui diplomasi dengan mendekati ibu bapa dan murid yang sebelum ini tidak mengendahkan aspek akademik.

"Kami bukan mahu menghalang tugas PPD, sebaliknya kami yakin Sabli mampu mengubah minda kami dan anak kami terhadap betapa pentingnya akademik.

"Beliau selalu menasihati kami supaya memastikan anak hadir ke sekolah dan mengulang kaji pelajaran ketika di rumah. Hanya pelajaran yang mampu mengubah nasib anak kami pada masa depan. Kami tidak mahu anak kami mewarisi kerja kami sebagai nelayan yang tidak mampu keluar daripada belenggu kemiskinan," katanya.

Beliau mendakwa, ada pihak tertentu yang tidak senang dengan kemampuan Sabli membawa perubahan di pulau itu terbabit dalam penukaran beliau ke PPD Kota Belud.

Enggu mendakwa, pihak terbabit bimbang jawatan mereka tergugat jika Guru Besar berkenaan terus mendampingi masyarakat kampung bukan setakat membantu meningkatkan pencapaian akademik murid, malah dari aspek sosial yang lain seperti membantu keluarga miskin dan miskin tegar di pulau ini.

Seorang penduduk, Jaunejar Sampedok, 39, berkata beliau dan kebanyakan ibu bapa tetap dengan pendirian tidak membenarkan anak mereka ke sekolah selagi Sabli tidak ditugaskan semula di sekolah berkenaan.

Ditanya sama ada beliau dan kebanyakan ibu bapa sedar mengenai kerugian jika anak mereka terus dibiarkan tidak bersekolah, beliau berkata mereka lebih rela anak mereka tidak menerima pendidikan daripada melihat perkara yang sama sebelum Sabli ditugaskan di sekolah itu, berulang.

Beliau mendakwa, sebelum guru sekolah itu dibimbing oleh Sabli mendidik anak bangsa secara berdedikasi, ada segelintir guru yang lebih gemar menghabiskan waktu di tanah besar dan mengendalikan kelas secara sambil lewa.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pelajaran Sabah, Datuk Normah Gagoh dalam suratnya kepada Halilullah menjelaskan, Kementerian Pelajaran menurunkan gred sekolah itu daripada B kepada Sekolah Kurang Murid (SKM) B yang memerlukan pentadbiran sekolah itu dipimpin Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma Gred DGA32.

Sehubungan itu, Sabli yang berjawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma Gred DGA34 hanya layak bertugas di SK Gred A, B atau SKM A atau Penyelia Pelajaran.

Normah dilaporkan akan mendapatkan laporan daripada PPD Kota Belud sebelum hadir di SK Pulau Mantanani bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

Berita Harian Online: 11 Mac 2009

Tiada ulasan: