Jumaat, 13 Mac 2009

Sekolah ‘histeria’ cemerlang

KUANTAN 12 Mac – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Lumpur di sini yang pernah digemparkan dengan kejadian histeria tahun lalu tetap memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008 yang diumumkan hari ini.

Pengetuanya, Abdul Khalil Sham berkata, dalam keputusan peperiksaan itu, sekolah berkenaan mencatat kelulusan sebanyak 94 peratus iaitu peningkatan berbanding tahun 2007.

Beliau turut bersyukur kerana kejadian histeria yang berlarutan beberapa bulan pada tahun lalu tidak menjejaskan prestasi pelajarnya yang menduduki SPM.

‘‘Walaupun kebanyakan pelajar terpaksa belajar dalam suasana yang tidak tenteram kerana diburu perasaan takut tetapi mereka tetap berjaya dalam peperiksaan.

‘‘Keseluruhannya, pencapaian pelajar dalam kesemua peperiksaan awam seperti SPM amat memuaskan dan berlaku peningkatan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sekolah berkenaan di sini hari ini.

Pada 25 Julai lalu, Mingguan Malaysia mendedahkan misteri yang menyelubungi SMK Tanjung Lumpur apabila sebilangan pelajar perempuannya diserang histeria hampir setiap hari sejak Mei lalu terutama menjelang tengah hari.

Menurut Abdul Khalil, pihaknya tidak menafikan kejadian histeria yang berlarutan selama dua bulan sedikit sebanyak mengganggu proses pembelajaran di sekolah berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, pencapaian peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada tahun lalu juga merupakan yang terbaik dalam tempoh 25 tahun.

Sementara itu, pelajar terbaik sekolah berkenaan, Zuliana Zulkilee, 18, yang memperoleh 9A 1B berkata, tumpuan dalam kelas merupakan faktor utama kejayaannya.

‘‘Walaupun sering mendengar pelbagai cerita menyeramkan ekoran kejadian histeria di sekolah ini tetapi ia tidak menghalang saya memberi sepenuh perhatian dalam kelas,” katanya.

Utusan Malaysia Online: 13 Mac 2009

Tiada ulasan: