Jumaat, 20 Mac 2009

Sistem baru dilaksana bagi menilai calon STPM

Oleh Norliza Abdullah
lizz@bharian.com.my


PELAJAR terbaik STPM 2008 peringkat Negeri Sembilan, dari kiri; Muhammad Azman Mat Jusoh, Nur Asmiedar Che Jaafar, Suriani Abd Aziz dan Mohd Azzahairi Sulaiman melihat keputusan mereka.

MAJLIS Peperiksaan Malaysia akan melaksanakan sistem modular bagi menilai prestasi pelajar mengikut semester menggantikan kaedah terminal sedia ada untuk calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Ketua Eksekutifnya, Omar Abu Bakar, berkata pihaknya sedang menyiapkan sistem itu dan pelaksanaannya akan diumumkan Menteri Pelajaran tidak lama lagi.

Beliau berkata, sistem digunakan sedia ada dilaksanakan sejak 1982 menggantikan Higher School Certificate (HSC) itu perlu diubah bagi memenuhi keperluan pendidikan semasa supaya terus berdaya saing.

Kajian semula sistem sedia ada itu juga katanya, dilaksanakan berikutan kemerosotan jumlah calon yang mengambil peperiksaan berkenaan sejak beberapa tahun lalu.

Kaedah taksiran modular yang akan dilaksanakan itu, kata Omar mengambil kira empat komponen iaitu penilaian berasaskan kurikulum dengan amalan peperiksaan biasa, projek sekolah, kerja amali dan ujian berasaskan sistem peperiksaan `open book’.

“Berbanding sistem peperiksaan terminal ini, pelajar perlu mengikuti pengajian selama tiga semeter sebelum melayakkan mereka menduduki peperiksaan STPM.

“Sistem baru ini akan menilai pencapaian pelajar berdasarkan prestasi mereka mengikut semester sepanjang tempoh pengajian Tingkatan Enam bawah dan atas.

“Pendekatan sedemikian lebih berdaya saing dalam usaha melahirkan generasi muda yang cemerlang dalam bidang akademik dan sahsiah. Ia selaras hasrat kerajaan mewujudkan sistem pendidikan holistik,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, kelmarin.

Berikutan perubahan itu, Omar berkata, kos taksiran dijangka meningkat dan pihaknya akan mengemukakan peruntukan baru kepada kerajaan bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar.

Beliau berkata, markah pelajar setiap semester dikumpul dan kecemerlangan mereka berdasarkan pencapaian tertinggi bagi ketiga-tiga penilaian.

Mengulas kemerosotan calon menduduki STPM, Omar berkata, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kini ada banyak pilihan.

Katanya, masing-masing boleh memilih sama ada mengikuti program matrikulasi, diploma mahupun prauniversiti di institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta.

Peningkatan taraf hidup katanya, menjadikan ibu bapa lebih bersedia dan mempunyai simpanan mencukupi bagi menampung pembiayaan anak masing-masing di kolej swasta.

“Tawaran program yang disediakan swasta pula pelbagai dan berdaya saing dengan kadar yuran berpatutan juga antara faktor lepasan SPM mengikuti kursus sama ada di peringkat diploma mahupun sijil.

“Keadaan berbeza kerana sebelum ini, pelajar yang gagal ke universiti terus ke Tingkatan Enam sebelum melayakkan mereka mengikuti pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Berita Harian Online: 20 Mac 2008

Tiada ulasan: