Ahad, 15 Mac 2009

Cikgu lepas geram

Oleh Mohd Amin Jalil dan Nor Azmelia Azahari
am@hmetro.com.my

SEREMBAN: Salahnya cuma melompat-lompat di kaki lima kelas ketika menunggu cikgu datang mengajar.

Tindakan murid tahun dua itu mengundang padah apabila dia ditampar beberapa kali di belakang badan oleh seorang guru lelaki yang melepaskan geram hingga badannya berbirat, semalam.

Berikutan kejadian jam 11.20 pagi itu, murid tahun dua sebuah sekolah kebangsaan dekat sini, Muhammad Zaiem Iskandar Roslan, 8, menangis kesakitan tanpa henti hingga menyebabkan pihak sekolah terpaksa memanggil ibunya.

Difahamkan, sebelum kejadian, gelagat murid terbabit bermain di luar kelas disedari guru lelaki berkenaan yang mengajar di kelas bersebelahan, menyebabkan dia memarahi Muhammad Zaiem sebelum melepas geram dengan memukul dan menampar belakang badannya.

Bapa mangsa yang hanya mahu dikenali Roslan (gambar), 30-an, berkata dia dimaklumkan kejadian itu selepas dihubungi isterinya yang menerima panggilan daripada guru besar sekolah itu, kira-kira jam 11.30 pagi.

“Apabila sampai di sekolah, saya melihat belakang badan anak saya penuh dengan kesan merah berbirat dipercayai akibat dipukul guru lelaki terbabit.

“Berikutan itu, saya menghantarnya ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban untuk mendapat rawatan. Saya kecewa kerana kesalahan dilakukan anak saya tidaklah begitu besar sehingga dia dipukul sebegitu rupa,” katanya.

Katanya, dia difahamkan anak lelakinya sedang bermain-main di kaki lima luar kelas dan tiba-tiba guru terbabit menampar belakangnya beberapa kali hingga menyebabkan dia menangis.

Roslan kemudian membuat laporan di Balai Polis Seremban 2 di sini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Azmi Abu Kassim, berkata pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut mengenai kes itu.

“Bapa mangsa mendakwa anaknya dipukul guru dan kami akan menyiasat dari seluruh aspek termasuk mengambil keterangan guru terbabit bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi di sini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNS), Datuk Abdullah Mohamad, berkata beliau belum menerima laporan bertulis daripada guru besar sekolah itu, namun sudah dimaklumkan secara lisan mengenai kejadian itu.

Beliau berkata, pihaknya kesal dengan kejadian itu dan menyifatkan tindakan guru terbabit menyalahi garis panduan Kementerian Pelajaran yang menetapkan setiap guru tertakluk kepada peraturan mendisiplinkan murid.

“Kita ada peraturan dan garis panduan yang perlu dipatuhi setiap guru termasuk soal mendisiplinkan murid. Mereka tidak boleh bertindak sesuka hati atau menggunakan kekerasan, sebaliknya perlu menggunakan kewarasan fikiran.

“Jika murid melanggar disiplin, guru terbabit sepatutnya merujuk kepada guru besar, bukannya bertindak sendirian,” katanya.

Katanya, beliau sudah mengarahkan Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri, Jamali Salam melakukan siasatan dan dijangka siap dalam tempoh dua hari sebelum sebarang tindakan boleh diambil terhadap guru terbabit.

myMetro: 14 Mac 2009

Tiada ulasan: