Khamis, 12 Mac 2009

Keputusan STPM 2008: Hanya 31 cemerlang

IPOH 10 Mac – Hanya 31 daripada 4,487 calon yang menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2008 di Perak muncul sebagai pelajar cemerlang.

Pengarah Pelajaran negeri, Mohd. Radzi Abd. Jabar berkata, pelajar terbabit mendapat A dalam semua mata pelajaran yang diambil dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0.

“Secara keseluruhannya, 4,311 calon lulus penuh iaitu 96.7 peratus sekali gus mengatasi pencapaian nasional, 94.79 peratus

“Daripada angka tersebut, 309 atau 6.89 peratus calon lulus lima prinsipal, 1,927 (42.95) empat prinsipal dan 886 (19.755 peratus) calon lulus dengan tiga prinsipal,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengumumkan keputusan STPM bagi tahun 2008 di pejabatnya di sini hari ini.

Mengulas keputusan keseluruhan tersebut, Mohd. Radzi berkata, ia menunjukkan prestasi pelajar yang mengambil peperiksaan STPM 2008 meningkat 0.75 peratus.

Mata pelajaran yang meningkat termasuk Bahasa Malaysia (2.52 peratus), Bahasa Cina (21.99 peratus), Bahasa Tamil (0.8 peratus), Bahasa Arab (14.85 peratus), Kesusasteraan Inggeris (33.33 peratus) dan Usuluddin (12.37 peratus).

Lain-lain ialah Geografi (13.69 peratus), Ekonomi (3.59 peratus), Pengajian Perniagaan (6.37 peratus) Perakaunan (6.06 peratus), Matematik (6.79 peratus) dan Biologi (0.76 peratus).

Menurut beliau, 4,487 calon menduduki peperiksaan itu di 63 pusat peperiksaan di seluruh Perak tahun lalu.

Utusan Malaysia Online: 11 Mac 2009

Tiada ulasan: