Khamis, 12 Mac 2009

Utara: Guru disiplin diminta elak guna kekerasan

ALOR SETAR: Pengarah Pelajaran Kedah, Shahidan Abdul Rahman meminta guru disiplin di negeri ini supaya lebih berdiplomasi dan tidak menggunakan kekerasan dalam menyelesaikan masalah membabitkan pelajar mereka.

Shahidan berkata, guru terbabit juga diminta lebih bersabar dalam menguruskan pelajar yang dikendalikan mereka supaya sebarang pertikaian bersama pelajar dapat dielakkan.

"Sebagai guru, mereka sepatutnya menggunakan pendekatan psikologi berbanding kekerasan. Bagaimanapun, saya tidak nafikan sikap pelajar tertentu yang degil kadang-kadang menjadikan guru hilang pedoman. Cuma saya harap mereka akan lebih bersabar," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar semalam mengenai dakwaan seorang pelajar dari Kuala Nerang yang ditampar guru disiplin sebanyak lima kali sehingga mungkin menyebabkan mangsa hilang pendengaran telinga kanannya.

Dalam kejadian 2 Februari lalu, Mohd Syazmal Yusof, 17, mendakwa ditampar ala Jepun oleh guru disiplin itu di pejabat sekolahnya ketika disoal siasat kerana terbabit dalam pergaduhan dengan rakan sekolahnya.

Shahidan berkata, pihaknya sudah mengarahkan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kuala Nerang menerusi Majlis Pemuafakatan Daerah untuk menyelesaikan masalah itu dengan keluarga pelajar berkenaan dan guru terbabit.

"Jika boleh, kita tidak mahu masalah seperti ini berulang supaya suasana harmoni di sekolah tidak terjejas," katanya.

Berita Harian Online: 11 Mac 2009

1 ulasan:

Nizar_Ryza berkata...

dh jahat pun nak bagi muka lagi? nak belai2? saya sgt2 x bersetuju