Jumaat, 13 Mac 2009

Keputusan SPM Perlis meningkat


MANSOR Lat (dua dari kiri) beramah mesra sambil mengucapkan tahniah kepada para pelajar cemerlang SPM yang mendapat A1 dalam semua mata pelajaran di SMK Derma, Kangar, semalam.


KANGAR 12 Mac - Peratusan kelulusan keseluruhan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Perlis 2008 mencatat peningkatan 0.42 peratus iaitu 92.92 peratus berbanding 92.50 peratus pada tahun sebelumnya.

Pengarah Jabatan Pelajaran Perlis, Mansor Lat berkata, daripada 4,605 calon yang menduduki SPM sebanyak 4,279 calon layak mendapat sijil.

Katanya, daripada jumlah itu 12 calon berjaya memperoleh gred A1 dalam semua subjek yang diambil.

''Seramai 48 calon pula mendapat gred A1 dan A2 dalam semua subjek yang diambil.

''Sebanyak tujuh sekolah memperoleh pencapaian 100 peratus kelulusan keseluruhan iaitu penurunan sebuah sekolah berbanding lapan buah pada tahun 2007," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan keputusan SPM 2008 di Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) di sini hari ini.

Katanya, gred purata sekolah (GPS) 2008 mencatat GPS 5.70 berbanding 5.79 pada tahun 2007 iaitu peningkatan sebanyak 0.09.

''Mengikut prestasi mata pelajaran pula semua subjek teras mencatatkan peningkatan kecuali Bahasa Inggeris dan Pendidikan Islam.

''Prestasi empat mata pelajaran utama tahun 2008 ialah Bahasa Melayu mencatat 92.96 peratus berbanding 92.63 peratus tahun 2007; Bahasa Inggeris 68.32 peratus berbanding 70.47 peratus tahun 2007; Matematik 27.08 peratus berbanding 72.41 peratus tahun sebelumnya dan Sains 92.00 peratus berbanding 88.38 peratus tahun 2007," katanya.

Menurutnya, antara sekolah yang berjaya menghasilkan ramai pelajar cemerlang ialah Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma yang masing-masing 21 pelajar dan SMK Perlis dengan empat pelajar.

Utusan Malaysia Online: 13 Mac 2009

Tiada ulasan: