Isnin, 16 Mac 2009

SMK Ibrahim catat paling ramai calon cemerlang SPM


RAMLI Abd. Rahman (berbaju batik hijau) bersama sebahagian pelajar SMK Ibrahim yang berjaya mendapat A dalam semua subjek Sijil Pelajaran Malaysia 2008 di Sungai Petani, Kedah, baru-baru ini.


SUNGAI PETANI 15 Mac - Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim (SMKI) di sini mencatatkan antara bilangan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) paling ramai di negeri Kedah mendapat A dalam semua mata pelajaran yang diambil dalam peperiksaan tersebut tahun lalu.

Pengetuanya, Ramli Abd. Rahman berkata, 33 daripada 204 pelajar sekolah yang menduduki SPM 2008 itu mendapat A dalam semua mata pelajaran.

Katanya, daripada jumlah tersebut seorang pelajar, G. Muneswaran melakarkan sejarah tersendiri apabila meraih A1 dalam 15 mata pelajaran termasuk subjek Tassawwur Islam.

"Seramai dua orang pelajar masing-masing mendapat 14A dan 13A.

"Selain itu, 11 pelajar mendapat 12A sementara 14 lagi mendapat 11A dan tiga orang mendapat 10A," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Khamis lalu, Pengarah Pelajaran Kedah, Shahidan Abd. Rahman mengumumkan bilangan calon SPM 2008 di negeri ini yang berjaya memperoleh A1 dalam kesemua mata pelajaran yang diambil bertambah sebanyak 113 orang berbanding 39 pada tahun lalu.

Beliau berkata, peningkatan ini adalah sesuatu yang amat membanggakan kerana bilangan pelajar yang mendapat keputusan cemerlang semakin meningkat.

Seramai 402 calon SPM Kedah berjaya memperoleh A (A1 atau A2) dalam kesemua mata pelajaran yang diambil berbanding 246 pada 2007.

Menurut Ramli, SMKI turut mencatatkan keputusan membanggakan apabila kesemua 204 pelajar yang mengikuti peperiksaan itu lulus.

"Peratusannya telah meningkat kepada 100 peratus berbanding 98.75 pada tahun 2007," katanya.

Katanya, pencapaian cemerlang sekolah itu membuktikan usaha gigih para guru dan pelajar sepanjang tahun lalu bagi mengekalkan reputasi yang baik SMKI.

Utusan Malaysia Online: 16 Mac 2009

Tiada ulasan: