Jumaat, 13 Mac 2009

24 sekolah lulus 100 peratus


NIK Nur Madihah Nik Mohd. Kamal dijulang oleh rakan-rakannya setelah mendapat keputusan SPM 19 A1 dan 1 A2 di Sekolah Menengah Ugama (A) Maahad Muhammadi (P) Kota Bharu, semalam. - UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK


KOTA BHARU 12 Mac - Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008 bagi Kelantan meningkat dalam semua aspek termasuk bilangan sekolah bantuan kerajaan yang mencatat kelulusan 100 peratus bertambah kepada 24 sekolah.

Pengarah Pelajaran negeri, Mohd. Ghazali Ab. Rahman menyifatkan keputusan itu suatu perkembangan yang amat membanggakan dalam usaha mengangkat kecemerlangan pendidikan di negeri ini.

''Pada tahun sebelumnya, hanya 19 sekolah mencapai kelulusan tahap itu. Selain itu peningkatan turut dicatatkan daripada segi kelulusan keseluruhan, bilangan yang mencapai kecemerlangan dan gred purata negeri," katanya pada sidang akhbar bagi mengumumkan keputusan itu di pejabatnya di sini hari ini.

Katanya, mendahului senarai kelulusan 100 peratus ialah Sekolah Menengah Sains (SMS) Tengku Muhammad Faris Petra, Kota Bharu; SMS Machang, SMS Pasir Puteh; Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat Kota Bharu; SMKA Tok Bachok, SMKA Melor, SMK Kamil, Pasir Puteh dan Maktab Sultan Ismail, Kota Bharu.

Turut berada dalam senarai itu ialah SMKA Wataniah Machang; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Bemban dan SMK Baroh Pial, Pasir Mas; SMK Hamzah (2) Machang; SMK Dato' Mahmud Paduka Raja (2) Tanah Merah; SMK Dato Perdana Bachok, SMK Kampung Chengal, Kota Bharu; SM Teknik Bachok dan SM Teknik Pasir Mas serta SMKA Falahiah, Tumpat.

Menurut beliau, kelulusan keseluruhan negeri mencatat 93.71 peratus iaitu meningkat sebanyak 0.71 peratus manakala gred purata meningkat 0.14 peratus kepada 5.56 peratus.

''Bilangan calon yang mendapat semua 1A dan kecemerlangan 1A dan 2A juga menunjukkan peningkatan yang ketara iaitu seramai 182 calon. Daripada jumlah tersebut 45 calon mendapat semua 1A manakala 137 calon lagi mendapat 1A dan 2A.

''Jumlah tersebut mewakili 0.64 peratus bagi tahun 2008 berbanding tahun 2007 iaitu seramai 161 calon (1A dan 2A) atau sama dengan 0.56 peratus," katanya.

Ghazali menambah, peratus kelulusan mata pelajaran yang diambil calon juga menunjukkan peningkatan antaranya Matematik iaitu daripada 76.97 peratus tahun 2007 kepada 80.33 peratus (3.36 peratus).

''Mata pelajaran Sains juga meningkat sebanyak 5.29 peratus iaitu 93.95 berbanding 88.66 peratus tahun sebelumnya.

''Perdagangan juga bertambah sebanyak 8.21 peratus iaitu daripada 76.41 peratus tahun 2007 kepada 84.62 peratus tahun lepas. Ekonomi Asas mencatat 77.32 peratus, meningkat sebanyak 5.51 peratus daripada 71.81 peratus tahun 2007," ujarnya.

Katanya, secara keseluruhannya seramai 35,590 orang mengambil SPM di negeri ini pada tahun lalu yang terdiri daripada 28,890 calon sekolah bantuan kerajaan, 3,612 calon sekolah agama kerajaan negeri (YIK), 693 calon Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan 2,395 calon sekolah swasta dan persendirian.

Utusan Malaysia Online: 13 Mac 2009

Tiada ulasan: