PUTRAJAYA 10 Mac - Kementerian Pelajaran tidak akan memperjudikan nasib dan masa depan pelajar sekolah di negara ini dalam agenda memartabatkan bahasa kebangsaan.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan, pihaknya ikhlas ingin melihat keputusan yang dibuat mengenai isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) memberi kebaikan kepada semua pihak.
''Agenda ini kita akan terus perjuangkan dengan kerjasama para pejuang bahasa termasuk Datuk Dr. Hassan Ahmad dan Datuk A. Samad Said.
''Saya berharap isu ini semakin difahami oleh segenap lapisan rakyat. Ia merupakan usaha untuk meningkatkan penguasaan Sains dan Matematik yang tidak akan sekali-kali meminggirkan Bahasa Melayu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.'
Semalam, Hassan yang juga Pengerusi Gerakan Memansuhkan PPSMI menafikan bahawa perjuangan menghapuskan dasar itu didalangi pihak tertentu.
Sebaliknya, jelas beliau, ia terbit dari kesedaran para pejuang bahasa untuk memartabatkan bahasa Melayu dan bahasa ibunda di negara ini.
Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, apa yang disebutkan oleh Hassan yang juga bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka itu amat tulus dan beliau tidak pernah meragui keikhlasannya bersama A. Samad serta para pejuang bahasa yang lain.
''Namun saya percaya pihak parti pembangkang selama ini mengambil kesempatan untuk 'menangguk di air keruh' dengan menjadikan isu ini sebagai platform bagi mengelirukan rakyat sekali gus menimbulkan kemarahan rakyat terhadap kerajaan.
''Saya sedar mereka ini mengambil kesempatan terhadap niat ikhlas kumpulan pejuang bahasa ini dan menggunakan peluang yang ada dengan apa cara sekalipun bagi meraih sokongan politik tanpa mempedulikan kesan dan natijahnya kepada keharmonian dan kesejahteraan negara," katanya.
Cuma, Hishammuddin mengharapkan dalam hal pendidikan ialah jangan ia terus dipolitikkan memandangkan perkara itu menyentuh soal kepentingan dan masa depan anak-anak.
Utusan Malaysia Online: 11 Mac 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan