Jumaat, 13 Mac 2009

Kongsi gelap dalangi gengsterisme di sekolah

TEMERLOH 11 Mac - Seorang guru penolong kanan sebuah sekolah menengah hari ini mendakwa kegiatan gengsterisme di sekolahnya didalangi oleh kumpulan kongsi gelap.

Guru Penolong Kanan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina Hua Lian, Mentakab dekat sini, Lim Jit Hun menegaskan, beliau mempunyai bukti mengenai kegiatan kongsi gelap itu.

Menurutnya, kewujudan kumpulan kongsi gelap yang mendalangi kegiatan gengsterisme di sekolah itu menyebabkan ramai pelajar lain takut untuk ke sekolah.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan terutama polis supaya membanteras aktiviti gengsterisme hingga ke akar umbi supaya tidak menjadi ancaman dan menjejaskan keselamatan pelajar lain.

''Pelajar tingkatan satu dan dua sering menjadi mangsa peras ugut di kalangan rakan-rakan mereka yang menjadi ahli kumpulan kongsi gelap," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, beliau sendiri dipercayai menjadi sasaran ugutan oleh kumpulan kongsi gelap selepas melaporkan masalah gengsterisme di sekolahnya kepada polis.

Jit Hun memberitahu, dalam kejadian kelmarin, cermin keretanya dipecahkan selepas polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh datang menyiasat masalah itu di sekolah berkenaan.

''Saya tidak pasti sama ada cermin kereta saya itu dipecahkan sebagai amaran oleh kumpulan kongsi gelap atau perbuatan salah seorang pelajar yang dirotan kerana masalah disiplin apabila tidak menghormati lagu Negaraku semasa perhimpunan baru-baru ini," katanya.

Beliau tidak gentar melaporkan gejala itu kepada polis dan Kementerian Pelajaran kerana bertanggungjawab menangani masalah tersebut supaya semua pelajar merasa selamat dan dapat menumpukan perhatian terhadap pelajaran.

Utusan Malaysia Online: 12 Mac 2009

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Patutkah kegiatan kongsi gelap disembunyikan?

Tanpa Nama berkata...

Kami ibu bapa ucapakan jutaan terima kasih kepada guru yang sanggup korban untuk menangani masalah kongsi gelap di sekolah!

Tanpa Nama berkata...

Guru yang berani patut dipuji dan digalakkan untuk bertindak!

Tanpa Nama berkata...

tetapi malangnya pihak kementerian pelajaran langsung tidak ambil berat tentang keselamatan dan gangguan emosi guru berkenaan tetapi hanya tahu menyalahkannya keran bocor rahsia..