Khamis, 19 Mac 2009

Beri kuasa semua guru rampas telefon

KUALA LUMPUR 18 Mac - Kementerian Pelajaran disaran memberi kuasa kepada guru untuk merampas telefon bimbit yang dibawa pelajar ke sekolah dan bukan hanya kepada guru disiplin sahaja.

Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Ali Hassan berkata, langkah itu penting bagi memastikan usaha membendung gejala disiplin pelajar dapat dilaksanakan secara berkesan dan menyeluruh.

"Sebuah sekolah kadang- kadang mempunyai seorang guru disiplin sahaja, mereka sukar memantau pelajar," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Yang Dipertua Gabungan Majlis Guru-guru Besar Malaysia (GMGBM), Ruslan Madon pula meminta Kementerian Pelajaran memberi kuasa kepada semua guru untuk merampas telefon bimbit yang dibawa pelajar ke sekolah.

Semalam, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, pihak sekolah khasnya guru disiplin akan diberi kuasa penuh untuk merampas telefon bimbit yang dibawa pelajar ke sekolah.

"Jika guru kelas juga diberi kuasa untuk merampas telefon bimbit pelajar, saya percaya usaha untuk membanteras gejala tersebut tidak perlu mengambil masa yang lama," katanya.

Menurut Ruslan, pihaknya mendapati ada pelajar tidak jujur ketika menduduki peperiksaan apabila mereka merujuk nota dan formula subjek tertentu yang disimpan dalam telefon bimbit.

"Selain itu, kes gangsterisme boleh berlaku disebabkan penggunaan telefon bimbit di sekolah kerana timbulnya perasaan iri hati sesama pelajar," katanya.

Tambah Ruslan, pihak sekolah perlu memastikan kemudahan telefon awam yang disediakan dapat berfungsi dengan baik supaya ia boleh digunakan apabila berlaku hal kecemasan.

"Malah, papan tanda amaran yang melarang penggunaan telefon bimbit di sekolah perlu diwujudkan untuk memberi kesedaran kepada para pelajar," katanya.

Menurut beliau, Surat Pekeliling Kementerian Pelajaran berhubung peraturan sekolah perlu dipanjangkan kepada ibu bapa agar mereka dapat memantau anak-anak daripada melanggar peraturan tersebut.

Utusan Malaysia Online: 19 Mac 2009

Tiada ulasan: