Sabtu, 14 Mac 2009

PPSMI tak jejas pencapaian pelajar SPM



Anak nelayan, Nik Nur Madihah menunjukkan slip keputusan peperiksaan SPM kepada bapanya, Nik Mohd Kamal Husin yang berada di atas bot ikan di Kuala Besar, Kota Bharu, Kelantan, semalam. Madihah muncul pelajar terbaik bagi sekolah tajaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) dengan mendapat 20A.

PUTRAJAYA: Seramai 6,277 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran, meningkat 24.05 peratus berbanding 5,060 pada 2007.

Keputusan peperiksaan itu juga menunjukkan peningkatan kelulusan dalam Sains dan Matematik, sekali gus membuktikan pelaksanaan pembelajaran dan pengajaran kedua-dua subjek itu dalam bahasa Inggeris (PPSMI) tidak menjejaskan pencapaian pelajar.

Mengumumkan keputusan peperiksaan itu di sini semalam, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata prestasi calon bandar dan luar bandar serta pada peringkat nasional bagi mata pelajaran itu terus meningkat.

Subjek Sains mencatat kelulusan 91.2 peratus berbanding 87 peratus pada tahun sebelumnya, manakala Matematik 77.5 peratus berbanding 75.8 peratus pada 2007.

Seramai 442,936 calon menduduki SPM tahun lalu, yang menjadi kumpulan kedua mengikuti PPSMI sejak Tingkatan Satu pada 2003.

Alimuddin berkata, calon yang memperoleh gred 1A dalam semua mata pelajaran juga meningkat, iaitu seramai 1,676 orang berbanding 892 pada tahun sebelumnya.

Tiga calon mendapat keputusan 1A dalam semua 16 subjek diduduki; 15 mata pelajaran (dua); 14 mata pelajaran (enam); 13 mata pelajaran (41); 12 mata pelajaran (229); 11 mata pelajaran (610); 10 mata pelajaran (614) dan sembilan mata pelajaran (171).

Seramai 10,080 calon pula berjaya memperoleh 10A atau lebih, 5,863 memperoleh 9A dan 5,909 (8A).

Beliau berkata, 181,416 calon atau 46.7 peratus lulus semua mata pelajaran berbanding 175,452 calon pada 2007.

"Seramai 208 atau 47.8 peratus daripada 435 calon berkeperluan khas pelbagai kecacatan pula berjaya mendapat sijil SPM berbanding 189 pada tahun sebelumnya.

"Seorang calon rabun dari Sekolah Menengah Sains Keluang, Johor, Mohamad Shafiq Sahdon berjaya memperoleh 12 1A manakala calon pekak dari Sekolah Menengah Kebangsaan, Jalan Bukit, Kajang, Selangor, Agilan Narayanan mendapat 11 1A," katanya.

Mengenai calon yang menjawab kertas soalan subjek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (BI), beliau berkata ia menunjukkan perkembangan memberangsangkan.

Seramai 45,662 calon menjawab kertas soalan Matematik 1 dalam BI sepenuhnya, berbanding 44,207 dalam Bahasa Melayu (BM) dan 55,550 menggunakan kedua-dua bahasa, manakala bagi Matematik 2, 227,720 menjawab soalan dalam BI sepenuhnya berbanding 86,463 dalam BM dan 41, 630 dalam dwibahasa.

Bagi Sains Kertas 1, 41,078 calon menjawab dalam BI, 16,557 (BM), 47,156 (dwibahasa); Sains Kertas 2, 36,855 (BI), 130,725 (BM), 36,041 (dwibahasa); Kimia Kertas 1 (4,347 (BI), 29,833 (BM), 25,367 (dwibahasa); Kimia Kertas 2, 90,669 (BI), 12,589 (BM), 23,907 (dwibahasa) dan Kimia Kertas 3, 79,920 (BI), 12,592 (BM), 11,551 (dwibahasa).

Mengenai penurunan prestasi mata pelajaran teras BI, Alimudin berkata, jumlahnya kecil serta tidak ketara.

"Kita sudah mengambil pelbagai langkah untuk meningkatkan penguasaan BI di kalangan guru, antaranya mengikuti kursus dan latihan termasuk ke Pusat Bahasa Serantau (RELC), Pertubuhan Menteri-Menteri Pelajaran Asia Tenggara (Seameo) di Singapura," katanya.

Beliau turut mengumumkan 3,098 daripada 6,240 calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2008 memperoleh sijil dengan pangkat lulus (maqbul) berbanding 3,341 calon pada tahun sebelumnya.

STAM ialah sijil yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran dan menggunakan sepenuhnya bahasa Arab sebagai pengantar peperiksaan.

Berita Harian Online: 13 Mac 2009

Tiada ulasan: