Khamis, 12 Mac 2009

Ambil kira penerimaan pelajar, guru

KUALA LUMPUR 10 Mac – Sebarang keputusan mengenai dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan mengambil kira penerimaan pelajar dan kemampuan guru di luar bandar.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, langkah itu penting sebelum kerajaan membuat keputusan terhadap masa depan PPSMI yang kini mendapat bantahan daripada beberapa pihak selepas beberapa tahun pelaksanaannya.

Katanya, beliau juga telah mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berhubung perkara itu.

‘‘Saya sudah bincang secara dasar berhubung isu PPSMI dengan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

‘‘Keputusan atau formula yang akan diambil, mengambil kira keadaan di bawah iaitu keutamaan di peringkat sekolah rendah serta kemampuan guru-guru sekolah berkenaan di luar bandar,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Dalam pada itu katanya, Kementerian Pelajaran akan mengedarkan memorandum mengenai PPSMI kepada semua kementerian yang terlibat untuk diberikan ulasan, sebelum dibawa ke Jemaah Menteri.

Dalam sidang akhbar yang sama, Hishammuddin turut mengalu-alukan kenyataan Pengerusi Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP), Datuk Dr. Hassan Ahmad dan Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said yang menyatakan mereka tidak terlibat dengan parti politik.

Utusan Malaysia Online: 11 Mac 2009

Tiada ulasan: