Sabtu, 28 Mac 2009

Guru pedalaman

Oleh: Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my


WALAUPUN menyedari tanggungjawab dan peranan profesion perguruan, ia bukan satu persetujuan bagi lepasan institusi perguruan untuk menerima tawaran mengajar di kawasan pedalaman.

WALAUPUN menyedari tanggungjawab dan peranan profesion perguruan, ia bukan satu persetujuan bagi lepasan institusi perguruan untuk menerima tawaran mengajar di kawasan pedalaman.

Selain faktor kedudukan sekolah yang jauh, kebanyakan mereka sukar menerima jika dihantar bertugas di luar kawasan disebabkan stigma negatif iaitu kemudahan terhad.


Lantaran itu, ada yang sanggup menganggur dan menukar profesion daripada dihantar bertugas nun jauh di pedalaman.

Mereka yang menyedari tanggungjawab dan peranan sebagai pendidik anak bangsa pula menerima tawaran terbabit walaupun terpaksa.

Guru sekolah pedalaman di Sekolah Kebangsaan (SK) Balur, Gua Musang, Kelantan, Hazizul Mamat, 28, berkata selepas ditawarkan untuk mengajar di Gua Musang, dia menerimanya dengan hati yang gembira kerana masih berada di dalam negeri kelahirannya.

"Namun, selepas sesi taklimat bersama guru besar sekolah itu dan menjejakkan kaki ke sekolah tempat mengajar, hati saya meronta untuk balik ke kampung.

"Perjalanan yang jauh dengan menggunakan kereta pacuan empat roda dan terpaksa merentasi tiga batang sungai saya boleh terima.

"Tetapi sebaik saja sampai ke sekolah itu dan melihat keadaannya, saya hanya mampu menitiskan air mata dan mahu pulang," katanya.

Bagaimanapun, disebabkan tanggungjawab, Hazizul yang pada ketika itu berusia 21 tahun, pasrah dan meneruskan perjuangan sebagai seorang pendidik di sekolah Orang Asli sehingga kini.

Bercerita mengenai pengalaman mengajar di sekolah pedalaman, Hazizul mengakui cabaran utama mereka hanyalah perjalanan dan penyesuaian diri.

"Dari segi mengajar, tidak banyak masalah yang dihadapi kerana kebanyakan pelajar di sekolah itu mempunyai minat untuk belajar.

"Tetapi, penyesuaian diri di perkampungan Orang Asli dan perjalanan ke sekolah adalah cabaran terbesar yang perlu saya tempuh," katanya.

Hazizul berkata, dia terpaksa menempuh banyak halangan dalam perjalanan berikutan sekolah itu yang terletak di kawasan paling pedalaman di Gua Musang.

"Untuk sampai ke sekolah ini, saya terpaksa merentasi laluan hutan yang dipenuhi dengan binatang buas.

"Selain itu, bertembung dengan lori balak dan debu yang tebal sehingga buku lali juga adalah halangan serta risiko yang perlu dihadapi.

"Sepanjang berkhidmat selama tujuh tahun di sekolah ini, pengalaman yang pasti tidak akan saya lupakan ialah terpaksa tidur di tepi sungai apabila air sungai naik," katanya.

Menurutnya, dalam menyesuaikan diri dengan persekitaran serta masyarakat pula, ia sedikit sukar terutama dari segi penginapan.

"Ini kerana, saya adalah satu-satunya guru yang mengajar di sekolah itu selain guru besar. Jadi, tidak ada rumah penempatan untuk guru di sini.

"Namun, alhamdulillah, sekarang keadaan sudah bertambah baik dan ia tidak lagi seperti dulu. Bilangan guru pun sudah bertambah," katanya yang dua kali menolak tawaran pertukaran sekolah.

Sementara itu, Azhar Abdul Aziz, 31, guru pedalaman di SK Bukit Mat Daling, Hulu Tembeling, Pahang berkata, mengajar di sekolah terbabit adalah pengalaman yang cukup bermakna buatnya.

"Ketika menerima surat tawaran, sekolah ini beralamat di Jerantut dan bukannya di Hulu Tembeling. Jadi saya tidak kisah sangat.

"Namun, selepas bertemu dengan guru besar, barulah saya tahu yang sekolah itu terletak di pedalaman dan terpaksa menaiki perahu," katanya.

Menurutnya, pengalaman yang tidak dapat dilupakannya ialah ditipu guru besar yang memaklumkan perjalanan untuk sampai ke sekolah dengan menaiki perahu hanya memakan masa sejam, tetapi sebenarnya perjalanan yang ditempuh selama empat hingga lima jam.

"Ketika baru menaiki perahu, setiap kali saya bertanya kepada guru besar, dia hanya menjawab, dekat lagi. Jadi saya hanya tunggu sehinggalah tiga kali bangun daripada tidur, masih juga tidak sampai dan guru besar hanya mampu tersenyum melihat gelagat saya.

"Selain itu, disebabkan sekolah terbabit dikatakan berada di kawasan pedalaman, keluarga membekalkan saya dengan peralatan memasak seperti periuk, kuali dan bahan mentah kerana beranggapan ia tidak dapat diperoleh di kedai di sini," katanya.

Kini, selepas 10 tahun menjadi guru di sekolah itu, Azhar menjadi lebih matang dan gembira menjalankan tanggungjawab sebagai pendidik.

myMetro: 28 Mac 2009

Tiada ulasan: