Kekhuatiran pihak berkenaan ada asasnya. Antaranya ialah seperti terjadi kepada tulisan jawi pada awal 1970-an. Memperkenalkan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu sehingga berkiblatkan bahasa ilmu terbabit, akhirnya jelas tulisan jawi hampir berkubur.
Siapa yang mahu bertanggungjawab? Sehingga kini ia seperti berkubur tanpa batu nesan, walau pun sekarang usaha Kementerian Pelajaran memperkenalkan j-Qaf wajar dipuji, berapa ramai pelajar yang boleh membaca tulisan jawi?
Apakah lagi yang hendak ditonjolkan jika setiap hari kita disogokkan dengan budaya dan ilmu dari Barat. Berbahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu tidak seharusnya menidakkan kepentingan bahasa Melayu itu sendiri.
Kementerian Pelajaran seolah-olah berlumba-lumba mengatur program pengajaran bahasa Inggeris untuk mata pelajaran Sains dan Matematik dengan memberikan elaun kepada guru yang mengajar subjek berkenaan.
Kesan yang ketara diabaikan apabila ada sekolah yang sudah pun kebanjiran guru subjek berkenaan, sehingga sekarang guru bahasa Melayu semakin berkurangan. Ia dapat dibuktikan di kebanyakan sekolah menengah, iaitu pihak sekolah kini berdepan masalah kekurangan guru Bahasa Melayu pula.
Apa langkah kementerian? Perlu diingat bahasa Melayu menjadi ancaman jika pelajar sendiri menghadapi masalah kecelaruan berbahasa. Tidak mustahil bahasa ini akan terpinggir, jika ada pihak yang ’nakal’ di luar sana mencadangkan pula subjek Geografi dan Sejarah kalau boleh diajar juga dalam bahasa Inggeris.
Universiti di China dan Russia, ada pelajar mengambil jurusan bahasa Melayu, fasih berbahasa Melayu sekali pun mereka belum pernah menjejakkan kaki ke negara ini, mudahnya mereka bertutur bahasa Melayu, dan mengagumi bahasa ilmu ini.
Malah boleh berpidato dalam bahasa Melayu ketika pertembungan pertandingan pidato antarabangsa Piala Perdana Menteri di PWTC beberapa tahun kebelakangan ini. Yang salahnya kita, kerana tidak nampak kehebatan bahasa Melayu, malah secara tidak langsung semakin meminggirkan bahasa ini.
Tidak seperti bahasa Perancis, Jepun dan Korea. Mereka tidak mengagungkan bahasa Inggeris melebihi bahasa mereka sendiri. Mereka juga kalah berbanding negara Barat dari segi pengembangan ilmu.
Jadikanlah kekuatan dan kemantapan bahasa Melayu itu sebagai bahasa ilmu. Jangan esok bila ia benar-benar terpinggir, mula menyalahkan badan bahasa di negara ini pula. Banyak istilah bahasa Inggeris atau bahasa lain diMelayukan. Saya tidak nampak bahasa Melayu memundurkan pelajar Melayu.
Malah, silapnya ialah subjek Bahasa Inggeris itulah yang wajar diperkasakan pengajarannya sehingga pelajar kita jika boleh mampu fasih bertutur. Kementerian Pelajaran wajar mengatur semula program bahasa Inggeris dengan kepakaran teknologi yang ada. Ia dapat melonjakkan penutur bahasa Inggeris di kalangan pelajar dan guru.
Apa yang jelas semua bahasa adalah bahasa ilmu. Bahasa Arab, juga bahasa pilihan yang Allah SWT angkat menjadi bahasa al-Quran. Malah, Barat sendiri mengkaji al-Quran, kitab ilmuan Arab dan Nusantara zaman lampau. Mereka mengambil ilmu al-Quran saja, tetapi tidak juga mengamalkannya.
Saranan saya, pihak Kementerian Pelajaran supaya memperkasa subjek Bahasa Inggeris agar pelajar sama ada di sekolah rendah atau menegah apabila keluar dari alam persekolahan boleh bertutur bahasa Inggeris.
DAMHA,
Sandakan, Sabah.
Berita Harian Online: 9 Mac 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan