Selasa, 10 Mac 2009

Guru digesa cari kaedah mengajar terbaru


ZULKHAIRI Ismail (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan berupa buku rujukan kepada Pegawai Pelajaran Daerah Papar, Abidin Marjan, pada Program Wacana Ilmu KYS di Dewan Serbaguna SMK Bongawan 2, Bongawan, semalam.


KIMANIS 8 Mac - Guru-guru di sekolah tajaan Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) perlu sentiasa mencari kaedah mengajar terbaru yang berkesan bagi meningkatkan keputusan akademik di sekolah masing-masing.

Ketua Pentadbir KYS Zon Pedalaman Selatan, Zulkhairi Ismail berkata, minat dan penerimaan pelajar juga perlu dipantau bagi membolehkan pengubahsuaian terhadap corak pengajaran dilakukan mengikut keperluan semasa.

"Di samping membaca, mengulang kaji, merujuk dan melunaskan kerja-kerja rumah, setiap pelajar perlu cara pembelajaran lebih mudah tetapi berkesan yang dipandu oleh para guru dan kaunselor di sekolah masing-masing.

"Dengan adanya kaedah pembelajaran seperti itu, kita pasti pencapaian akademik para pelajar akan lebih bagus dan mereka juga tidak akan terbeban dengan jadual mengulang kaji yang ketat," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Program Wacana Ilmu KYS di Dewan Serbaguna Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bongawan 2, Bongawan dekat sini hari ini.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan buku-buku rujukan dan akademik sumbangan Perpustakaan Penyelidikan Tun Fuad Stephen Yayasan Sabah untuk pusat sumber sekolah tersebut.

Zulkhairi berkata, pihak bertanggungjawab perlu mencari jalan untuk memikirkan kaedah terbaik yang bersesuaian serta menepati kehendak penguasaan sesuatu mata pelajaran.

Selain itu, katanya, bagi membantu pencapaian akademik yang lebih baik, kerjasama antara guru dan ibu bapa juga amat diperlukan.

"Ibu bapa dan guru-guru perlu berganding bahu melaksana tanggungjawab untuk meningkatkan pencapaian akademik, ini akan membantu agenda pembangunan modal insan," katanya.

Sementara itu, Pegawai Pelajaran Daerah Papar, Abidin Marjan, mengingatkan para pelajar di daerah ini supaya tidak terlibat dengan kegiatan membuli ataupun gengsterisme.

"Jangan sekali-kali terlibat dengan kegiatan salah laku atau gangsterisme sama ada di kawasan sekolah atau pun di luar sekolah seperti yang berlaku di Semenanjung dan Sarawak, baru-baru ini,'' katanya.

Utusan Malaysia Online: 9 Mac 2009

Tiada ulasan: