Khamis, 12 Mac 2009

Keputusan STPM 2008: 18 sekolah di Kedah capai 100 peratus

ALOR SETAR 10 Mac – Sebanyak 18 sekolah di negeri ini mendapat kelulusan 100 peratus dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi tahun 2008.

Pengarah Pelajaran Negeri Kedah, Shahidan Abd. Rahman berkata, sekolah tersebut ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Nyior, Jitra; SMK Jitra, SMK Kulim, SMJK Keat Hwa, SMK Sultanah Bahiyah, SMK Sultanah Asma, SMK Tunku Abdul Malik dan SMK Agama Kedah di Alor Setar.

Selain itu, SMK Sungai Pasir, SMJK Sin Min, SMK Yan, SMK Aman Jaya, SMK Kota Kuala Muda di Sungai Petani, SMK Lubok Merbau, Pendang, SMK Tunku Sulong, Gurun, SMK Sultan Badlishah, Kulim serta SMK Serdang turut mendapat kelulusan penuh 100 peratus berbanding tujuh sekolah pada tahun 2007.

“Seramai 4008 calon telah mendaftar untuk mengambil peperiksaan tersebut.

“Jumlah calon yang hadir ialah 3,725 orang dan 3,408 ialah calon sekolah kerajaan, 189 calon sekolah swasta dan 411 calon persendirian,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Menurut Shahidan, prestasi calon dalam STPM di negeri ini yang mendapat keputusan lulus penuh ialah 95.69 peratus iaitu peningkatan 2.06 peratus berbanding 2007.

“Pada tahun 2008 pencapaian calon yang mendapat 5P ialah 186 orang (meningkat 2.56 peratus ) dan 4 Prinsipal ialah 1,375 orang (meningkat 0.29 peratus) berbanding 2007.

“Seramai 15 calon juga berjaya mencapai keputusan cemerlang 4 prinsipal pada tahun 2008,” katanya.

Utusan Malaysia Online: 11 Mac 2009

Tiada ulasan: