Khamis, 12 Mac 2009

STPM: 3,540 calon lulus penuh

SHAH ALAM 10 Mac - Sebanyak 3,540 pelajar atau 96.27 peratus daripada 3,809 pelajar di seluruh Selangor lulus penuh dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2008 yang keputusannya diumumkan hari ini.

Dua daripada mereka, Neo Jia Hui dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Samad, Petaling Jaya dan Cheh Ghoon Hoong (SMK Katholik, Petaling Jaya) diumumkan sebagai calon cemerlang STPM 2008 peringkat kebangsaan.

Pengarah Pelajaran Selangor, Dr. Zahri Aziz berkata, bilangan pelajar yang lulus penuh dalam peperiksaan STPM tahun lalu meningkat 1.91 peratus berbanding keputusan 2007 iaitu 94.36 peratus.

Beliau berkata, 118 pelajar lagi atau 3.21 peratus lulus sebahagian.

Tambah beliau, secara keseluruhannya, 202 calon atau 5.49 peratus mendapat kelulusan penuh (5P), 1,742 pelajar atau 47.38 peratus (4P), 727 pelajar atau 19.77 peratus (3P), 455 pelajar atau 12.37 peratus (2P) dan 414 pelajar atau 11.26 peratus (1P).

"Daripada 23 mata pelajaran yang ditawarkan dalam peperiksaan STPM tahun lalu, 11 mata pelajaran mencatatkan peningkatan berbanding tahun 2007," kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Menurut Zahri, lima daripada subjek yang meningkat ialah ialah Matematik Tambahan yang naik 100 peratus, Sains Sukan (30.65 peratus), Computing (25 peratus), Bahasa Tamil (14.04 peratus) dan Pengajian Perniagaan (9.68 peratus).

Tambah beliau, enam lagi mata pelajaran yang meningkat ialah Sejarah (8.37 peratus), Geografi (6.12 peratus), Ekonomi (5.58 peratus), Pengajian Am (1.90 peratus), Bahasa Malaysia (1.81 peratus) dan Kimia (1.09 peratus).

"Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pihak yang terlibat mendidik pelajar mengikut acuan kita sendiri sehingga ramai di kalangan mereka berjaya dengan cemerlang.

"Kepada petugas peperiksaan STPM 2008, saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kerana telah melaksanakan urusan pengendalian STPM dengan jayanya," kata beliau.

Utusan Malaysia Online: 11 Mac 2009

Tiada ulasan: