Jumaat, 13 Mac 2009

SMK Seri Hartamas sekolah cemerlang


SITI Naqiah Mohammad Azhar menunjukkan keputusan SPM 2008 yang mendapat 11 A di SMK Seri Hartamas, semalam .


KUALA LUMPUR 12 Mac - Program kepimpinan yang diadakan setiap tahun bersama institusi pengajian tinggi (IPT) berjaya menobatkan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Hartamas di sini sebagai sekolah cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008.

Pengetua sekolah itu, Kamariah Abu, berkata, SMK Seri Hartamas muncul sebagai sekolah harian terbaik bagi pencapaian SPM tahun lalu.

Menurutnya, melalui program itu, ia memberi penekanan dan mendidik pelajar menjadi seorang yang berkeyakinan diri.

''Komitmen dan sambutan yang diberikan oleh setiap pelajar pada setiap program yang diadakan jelas menunjukkan mereka mempunyai keinginan yang tinggi untuk mendisiplinkan diri.

''Selain itu, ibu bapa juga menjadi pendorong utama dalam usaha memberi penekanan akademik kepada anak-anak mereka,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, salah seorang pelajar terbaik SPM 2008 sekolah tersebut, Siti Asfarina Nizamuddin, 17, berkata, dia tidak menduga boleh mendapat keputusan 11 1A kerana tidak menaruh harapan yang tinggi.

''Sasaran saya hanya 8 1A sahaja dan saya bersyukur kerana memperoleh keputusan ini,'' katanya.

Menurut Asfarina, selain ibu bapa, guru-guru banyak memberi pendorong kepadanya.

Katanya, dia bukanlah seorang yang konsisten dalam mengulangkaji pelajaran, tetapi sentiasa memberi perhatian semasa pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

Seorang lagi pelajar yang mendapat 10 1A, Chong Victor, 17, pula berkata, kejayaannya adalah hasil usaha yang berpanjangan dan bermula daripada awal.

''Sekiranya ingin berjaya, kita perlu belajar melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu bukannya semata-mata untuk peperiksaan sahaja,'' katanya.

Menurut Chong, persekitaran yang kondusif dan guru-guru yang banyak memberi pertolongan kepada pelajar turut menjadi faktor kejayaannya.

Apa yang penting, katanya, setiap pelajar perlu menyedari bahawa dengan pendidikan sahajalah yang akan membolehkan mereka untuk bersaing di dalam dan luar negara.

Utusan Malaysia Online: 13 Mac 2009

Tiada ulasan: