Sabtu, 7 Mac 2009

Pelajar kita bukan gengster

KUALA LUMPUR 5 Mac - Pelajar-pelajar di negara ini bukan gengster cuma nakal. Malah kes-kes disiplin membabitkan mereka sejak akhir-akhir ini langsung tidak berkaitan dengan gengsterisme.

Itulah reaksi Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Md. Dom ketika ditanya mengenai masalah disiplin pelajar-pelajar yang semakin serius sehingga dikatakan dipengaruhi elemen gengsterisme.

Beliau menjelaskan, kes-kes disiplin itu juga tidak membabitkan pihak luar sebaliknya ia lebih menjurus kepada kenakalan anak-anak yang meningkat usia remaja.

''Ia belum sampai tahap gangster," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau kini berada di Sibu, Sarawak untuk mendapatkan maklumat berhubung kes sembilan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Oya, Dalat dekat Mukah, Sarawak yang terlibat membuli pelajar tingkatan tiga sekolah tersebut, 12 Februari lalu.

Klip video selama tiga minit itu boleh disaksikan menerusi laman web www.youtube.com.

Alimuddin berkata, kes-kes yang dilaporkan itu adalah terpencil dan tidak menggambarkan keseluruhan tahap disiplin 5.4 juta pelajar yang belajar di 10,000 sekolah di negara ini.

Katanya, dalam menangani masalah kenakalan pelajar, pihak sekolah khususnya pengetua dan guru besar diberi empat kuasa mengambil tindakan iaitu memberi amaran, merotan, gantung sekolah dan membuang sekolah.

Beliau berkata, selaras dengan keperluan itu, kementerian mewujudkan Jawatankuasa Pemuafakatan Sekolah yang dianggotai oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pegawai perhubungan polis, pemimpin setempat dan badan bukan kerajaan (NGO).

Dalam pada itu, katanya, kementerian menyambut baik permintaan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin untuk berbincang dengan kementerian mengenai masalah disiplin pelajar sekolah.

Utusan Malaysia Online: 6 Mac 2009

Tiada ulasan: