Jumaat, 6 Mac 2009

Atur pertemuan dengan Kementerian Pelajaran atasi kes buli di sekolah

KUALA LUMPUR: Bagi mencari jalan menangani kes pukul dan buli di sekolah supaya tidak berlarutan, polis akan mengatur pertemuan dengan Kementerian Pelajaran untuk menyelesaikannya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, berkata polis mahu mendapatkan pandangan mengenai peranan pasukan itu dalam membantu mengatasi masalah disiplin di sekolah.

“Polis akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pelajaran untuk melihat sejauh mana peranan kita diterima dan boleh membantu untuk memastikan kejadian ini tidak sampai ke tahap yang tidak boleh dikawal.

“Kita tidak mahu keadaan ini menjadikan sekolah sebagai tempat mengasuh penjenayah,” katanya ketika ditemui selepas menutup Persidangan Pegawai Turus D10 (Forensik) serta menyerahkan Polilight dan Kit Forensik di Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada 14 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, semalam.

Laporan mengenai kes pelajar memukul atau membuli pelajar lain banyak dilaporkan sejak beberapa minggu lalu, dengan kejadian terbaru seorang pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Lepar, Pekan, Pahang, Mohd Azwan Md Ribi, 15, melecur ditekap dengan seterika panas oleh pelajar seniornya.

Mohd Bakri berkata, polis sebelum ini sudah melantik Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) di kalangan pegawainya bagi membantu menangani masalah itu.

Katanya, pihaknya kini membuat perancangan untuk membawa konsep polis kemasyarakatan ke sekolah, dengan bantuan PPS dan Program Rakan Muda yang diharap dapat membantu menangani masalah itu.

Beliau bagaimanapun berkata, semua pihak perlu memahami PPS tidak mungkin diletakkan sepanjang masa di sekolah bagi memantau masalah disiplin murid atau pelajar sekolah.

“Takkan kita nak letak sekolah seolah-olah seperti lokap, itu tidak mencapai matlamat asal. Kita hanya datang ke sekolah apabila diperlukan untuk membantu,” katanya.

Mohd Bakri berkata, orang ramai juga perlu mengubah minda dengan tidak melihat kehadiran PPS dengan kemerosotan tahap disiplin sekolah.

Beliau juga berharap supaya ibu bapa tidak merungut terhadap guru hanya disebabkan oleh perkara kecil yang dilaporkan oleh anak mereka.

Sementara itu, Mohd Bakri berkata, sebanyak 10 Polilight iaitu sejenis alat yang memancarkan cahaya bagi mengesan bahan bukti seperti darah dan air mani yang semuanya berharga RM1.99 juta serta 17 Kit Forensik berharga RM3.36 juta akan diagihkan ke setiap negeri bertujuan meningkatkan prestasi penyiasatan di tempat kejadian (CSI) dalam mengumpul bahan bukti kes jenayah secara forensik.

“Bagi memperkemaskan lagi peranan siasatan forensik, kita mempunyai rancangan menjadikan D10 sebagai satu jabatan dan mempunyai seorang pengarahnya sendiri,” katanya.

Mohd Bakri berkata, seorang pakar forensik Jepun, Araki Masato, turut ditempatkan di Makmal Forensik PDRM melalui program kerjasama Japan International Cooperation Agency (JICA) sejak 2 Mac lalu, bertujuan berkongsi kepakaran, pengetahuan dan maklumat mengenai siasatan forensik antara Jepun dan Malaysia.

myMetro: 5 Mac 2009

Tiada ulasan: