Khamis, 5 Mac 2009

Cadangan wujud kolej untuk Tingkatan Enam

Oleh Ahmad Naim Tahir, Syuhada Choo Abdullah dan Norliza Wasilan
bhnews@bharian.com.my

Jawatan Timbalan Pengetua Gred DG54 akan diperkenal

KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang mewujudkan sekolah khas atau kolej Tingkatan Enam, sekali gus memperkenalkan jawatan Timbalan Pengetua pada Gred DG54 di institusi pendidikan berkenaan dalam usaha melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan negara.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata selain menempatkan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak dapat memasuki Kolej Matrikulasi atau institusi pengajian tinggi awam (IPTA), langkah itu bertujuan meningkatkan kualiti sistem pentaksiran Tingkatan Enam.

Langkah itu yang dilaksanakan melalui Majlis Peperiksaan Malaysia, katanya, sejajar hala tuju Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan.

Beliau berkata, menerusi cadangan itu, kerajaan akan menyediakan prasarana selain meningkatkan mutu tenaga pengajar Tingkatan Enam daripada Gred DG41 kepada DG48 dan DG52 seperti pensyarah Kolej Matrikulasi.

Sambil menjelaskan pelajar Tingkatan Enam adalah `pelajar dewasa', beliau berkata, penggubalan kurikulum untuk mereka pula perlu mengambil kira aspek pengembangan kemahiran kognitif aras tinggi.

"Kementerian Pelajaran sedang menyediakan kertas cadangan untuk mewujudkan sekolah khas atau kolej Tingkatan Enam. Saya berharap pihak berkenaan, terutama Perbendaharaan merestui cadangan ini," katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Abdul Manan Ismail (BN-Paya Besar) berhubung penempatan lulusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia yang tidak dapat memasuki Kolej Matrikulasi atau IPTA.

Menjawab soalan asal Abdul Manan, Wee berkata, kurikulum Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) setaraf Program Matrikulasi yang membolehkan lepasan peperiksaan itu memohon tempat di universiti.

Katanya, sukatan pelajaran dan soalan peperiksaan STPM berdasarkan tanda aras dengan badan peperiksaan peringkat antarabangsa, malah setaraf Cambridge A Level yang membolehkan sijil itu diterima universiti luar negara.

"Usaha melaksanakan misi ini membabitkan perubahan yang radikal dalam sistem pengukuran dan penilaian pendidikan. Antaranya merombak sistem peperiksaan STPM daripada sistem terminal kepada sistem modular.

"Ia untuk memenuhi jangkaan pengguna sesuai dengan keperluan pendidikan semasa dan masa depan. Sejajar hala tuju ini, sukatan pelajaran semua mata pelajaran sedang digubal semula untuk disesuaikan dengan sistem modular," katanya.

Kepada soalan tambahan Mohd Yusmadi Mohd Yusoff (PKR-Balik Pulau), Wee berkata, langkah mewujudkan sekolah khas Tingkatan Enam penting untuk mengekalkan pelajar cemerlang di Malaysia, sekali gus meningkatkan kualiti pendidikan negara.

Berita Harian Online: 4 Mac 2009

Tiada ulasan: