Khamis, 5 Mac 2009

Guru kaunseling cabul gagal ketepi penjara, sebat

Tiga hakim sebulat suara tolak permohonan Mohd Aarif

PUTRAJAYA: Guru kaunseling yang didapati bersalah mencabul guru pelatih wanita yang kononnya terkena sihir, ketika upacara mengeluarkan katak daripada rahim mangsa, gagal dalam rayuan untuk mengetepikan penjara dua tahun dan satu sebatan yang dikenakan terhadapnya.

Mohd Aarif Md Yusuf, akan menjalani hukuman itu mulai semalam selepas permohonan untuk mendapatkan kebenaran merayu daripada Mahkamah Rayuan di sini ditolak.

Hakim Datuk Low Hop Bing bersama-sama Hakim Datuk Hasan Lah dan Hakim Datuk Abdul Malik Ishak sebulat suara menolak permohonannya selepas mendapati ia tidak mempunyai merit.

Pada 4 Jun 2007, Mohd Aarif didapati bersalah oleh Mahkamah Majistret Butterworth, terhadap tuduhan mencabul kehormatan guru pelatih, 24, dengan cara meraba payu dara dan kemaluan mangsa di sebuah rumah di Kuala Muda, Butterworth, 22 Mei 2005.

Tertuduh yang dibenarkan bebas dengan ikat jamin RM5,000, merayu ke Mahkamah Tinggi tetapi ditolak pada 28 Januari 2008.

Dalam prosiding semalam, tertuduh melalui peguam bela Ang Chun Pun, mengemukakan permohonan untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Majistret atas alasan isu undang-undang yang perlu diputuskan berhubung kegagalan majistret mengambil kira bukti sokongan ketika mensabitkannya. Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin membantah permohonan itu atas alasan tiada persoalan undang-undang yang perlu diputuskan Mahkamah Rayuan memandangkan majistret membuat penemuan fakta dengan mengambil kira keterangan sokongan dua saksi pendakwaan yang mendengar jeritan mangsa.

"Apa yang berlaku ialah mulut mangsa ditekup dan dipukul ketika dia menjerit, tertuduh meraba mangsa untuk mengeluarkan katak dalam rahim mangsa," katanya. � Bernama

Berita harian Online: 4 Mac 2009

Tiada ulasan: