KUALA LUMPUR 6 Mac - Pihak sekolah dan warden asrama perlu mendedahkan rekod tingkah laku setiap pelajar kepada ibu bapa dari semasa ke semasa.
Pensyarah Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Datuk Dr. Abdul Rahman Daud berkata, jika rekod pelajar dipantau oleh ibu bapa sendiri, gejala samseng di kalangan pelajar dapat dikurangkan.
''Budaya prihatin oleh ibu bapa terhadap anak-anak kini semakin kurang. Mereka seperti menyerahkan 100 peratus jagaan anak kepada pihak sekolah,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Abdul Rahman, cadangan tersebut membolehkan ibu bapa melihat sendiri rekod buruk anak-anak dan memikirkan cara untuk mendidik mereka supaya lebih menghormati sesama insan.
"Tetapi ini tidak, jika anak-anak menghadapi masalah disiplin atau menjadi mangsa gangsterisme di sekolah, barulah ibu bapa melatah dan terus menyalahkan pihak sekolah dan seterusnya kementerian," katanya.
Mengulas gejala buli pelajar yang melibatkan pelajar sekolah di seluruh negara sehingga mengakibatkan kematian, Abdul Rahman berkata, pihak sekolah juga perlu mengawal lebih ketat tingkah laku pelajar dan memastikan mereka berdisiplin.
Beliau berkata, perkara itu boleh dilaksanakan di kalangan pelajar dengan melihat semula peraturan sekolah yang barangkali tidak lagi ketat seperti dulu.
"Pelajar sekarang sudah tidak takut lagi dengan guru disiplin, kenapa perkara itu berlaku? Justeru pihak sekolah harus mengenal pasti punca-puncanya," katanya.
Sementara itu, penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim pula berkata, pihak sekolah perlu mengurangkan budaya wujudnya persatuan-persatuan membimbing pelajar kerana ia tidak efektif.
Beliau berkata, sebaliknya aktiviti riadah seperti sukan ekstrem, tinju dan perkhemahan yang lebih praktikal dalam menangani masalah 'ala gangster' di kalangan pelajar perlu diperbanyakkan.
Kerajaan juga, katanya, perlu mewujudkan kursus untuk ibu bapa muda membimbing anak-anak kerana faktor kurangnya didikan yang betul merupakan punca pelajar menjadi ganas.
"Pelajar tidak boleh disalahkan kerana mereka sedang melalui zaman remaja yang melebihkan masa bersama rakan-rakan sebaya dan segala perbuatan mereka mempunyai pengaruh yang kuat.
"Mereka sanggup bertindak secara fizikal bagi menunjukkan siapa kuat dengan harapan akan dipuji oleh rakan sebaya tanpa menjangka kesannya," katanya.
Utusan Malaysia Online: 7 Mac 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan