Sabtu, 7 Mac 2009

Alimuddin ke SMK Tok Janggut

PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, akan mengadakan perjumpaan dengan pihak pengurusan, ibu bapa dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tok Janggut di Pasir Puteh, Kelantan, Ahad ini bagi menyelesaikan kes seorang pelajar sekolah itu dicederakan dalam pergaduhan.

Alimuddin berkata, perjumpaan itu adalah bagi membincangkan mengenai tahap disiplin pelajar sekolah berkenaan selepas seorang pelajarnya, Muhd Amirul Hakim Mohd Afandi, 15, cedera dipercayai dilibas dengan kerambit, Rabu lalu.

"Saya sendiri akan ke sekolah berkenaan berjumpa dengan pihak pengurusan dan ibu bapa pelajar terbabit. Perkara ini perlu disiasat kerana mungkin ada kecuaian pihak pengurusan sekolah," katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam.

Rabu lalu, Muhd Amirul Hakim Mohd Afandi, 15, cedera di belakang badan selepas terkena libasan kerambit, digunakan seorang daripada tiga pelajar Tingkatan Empat yang menyerangnya.

Difahamkan, Muhd Amirul Hakim yang berada dalam kelasnya didatangi tiga pelajar Tingkatan Empat itu sebelum berlaku pertengkaran.

Sementara itu, Alimuddin meminta semua pengetua dan guru besar untuk memberikan lebih perhatian terhadap sebarang isu membabitkan pelanggaran disiplin di kalangan pelajar masing-masing.

Berita Harian Online: 7 Mac 2009

Tiada ulasan: