Selasa, 3 Mac 2009

Guru KPLI kecewa kerenah birokrasi

SAYA terpanggil untuk mewakili kira-kira 226 guru Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) Januari 2008 yang masih tidak diberi penempatan untuk mengajar.

Kami sudah menghabiskan pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG) Disember lalu.

Namun, Kementerian Pelajaran memaklumkan status kami gagal diberi penempatan di sekolah kebangsaan bantuan kerajaan dengan alasan kami pernah berkhidmat dan dilantik sebagai kakitangan awam di jabatan kerajaan dan badan berkanun.

Ini menimbulkan rasa tidak puas hati, sedangkan kami tiada lagi masalah dengan proses peletakan atau melepaskan jawatan lama.

Sebelum mengikuti kursus KPLI, kami sudah melepaskan jawatan secara sah dan surat mendapat pelepasan untuk mengikuti kursus itu.

Mengapa kementerian tidak maklumkan proses sebenar ketika di IPG lagi. Apakah rasionalnya kementerian memberitahu masalah ini pada akhir pengajian? Kami keliru kerana ia tidak pernah berlaku sebelum ini.

Kami dimaklumkan bahawa maklumat diri kami kini diteliti dan perlu melalui proses tertentu pada peringkat Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP). Kami sudah menunggu hampir dua bulan untuk kementerian dan SPP menyelesaikan masalah ini.

Sampai bila harus menunggu sedangkan kami tiada pekerjaan serta mempunyai tanggungjawab. Kami juga ingin mendapatkan kepastian Kementerian mengenai lantikan perjawatan. Apakah kami akan dipanggil untuk temu duga DC41 atau berkhidmat terus untuk jawatan itu.

Jika diberi jawatan DC41, bagaimana pula status kekananan yang sudah hilang sepanjang tempoh lewat kami mula berkhidmat. Kami mohon perhatian Menteri Pelajaran dan ketua pengarah kementerian membantu memperoleh penempatan secepat mungkin. Mengapa terlalu banyak kekangan dan kerenah birokrasi yang wujud?

BAKAL GURU MALAYSIA,
Negeri Sembilan.

Berita Harian Online: 2 Mac 2009

Tiada ulasan: