KUCHING: Polis akan mengambil keterangan 10 pelajar yang disyaki terbabit dalam kes buli seorang pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Oya, Dalat, yang disiarkan secara meluas dalam YouTube beberapa hari lalu, hari ini.
Ketua Polis Daerah Dalat, Deputi Superintendan Matin Koo, berkata semua pelajar terbabit diminta pihak sekolah melaporkan diri di sekolah itu hari ini selepas digantung sekolah sejak 23 Februari lalu.
"Pelajar terbabit akan melapor di sekolah pagi esok bersama ibu bapa masing-masing. Selepas itu kita akan membawa mereka ke Balai Polis Daerah Dalat untuk mengambil kenyataan berhubung kejadian itu," katanya.
Koo berkata, polis mahu mengenal pasti siapa antara pelajar terbabit yang merakamkan kejadian itu kerana dia adalah saksi sebenar kejadian berkenaan.
Katanya, polis mengenal pasti pelajar terbabit, semua membabitkan pelajar Tingkatan Enam, Lima, Empat dan Tingkatan Tiga sekolah sama.
Sementara itu, Pengarah Pelajaran Sarawak, Dr Julaihi Bujang berkata pegawai pelajaran dari Kuching dan Bahagian Mukah diarahkan membantu menyiasat kejadian berkenaan.
Katanya, selain pegawai pelajaran, polis juga akan terbabit dalam siasatan sebelum sebarang tindakan lanjut dapat dilakukan kepada pelajar yang terbabit dalam kejadian buli itu.
"Ada dua aspek yang perlu diambil perhatian dalam siasatan ini iaitu kejadian buli di sekolah dan kejadian mengedarkan gambar itu melalui YouTube," katanya.
Dalam klip video selama 3.05 minit itu, mangsa yang dikatakan pelajar Tingkatan Tiga sebuah sekolah berasrama di Dalat dilihat disepak dan dipukul termasuk menggunakan cerek air oleh sekumpulan pelajar lain yang berpakaian seragam sekolah dalam sebuah bilik asrama.
Keluarga mangsa dikatakan sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Balai Polis Daerah Dalat pada 23 Februari lalu. - Bernama
Berita harian Online: 2 Februari 2009
1 ulasan:
could u give the URL for the vid?
Catat Ulasan