Khamis, 5 Mac 2009

Kurang guru lelaki bukan punca disiplin

KUALA LUMPUR: Kekurangan guru lelaki berbanding guru wanita di sekolah di seluruh negara ketika ini bukan penyebab peningkatan masalah disiplin pelajar kebelakangan ini, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom.

Beliau berkata, adalah tidak adil mengaitkan kekurangan guru lelaki dengan peningkatan masalah disiplin berikutan ia seolah-olah menafikan sumbangan guru wanita dalam membentuk sahsiah serta jati diri pelajar.

"Kementerian mengakui jumlah guru wanita di kebanyakan sekolah kira-kira 70 peratus berbanding guru lelaki tetapi untuk mengaitkan ia sebagai penyebab kemerosotan disiplin pelajar adalah tidak tepat.

"Kementerian akui sesetengah jawatan seperti warden asrama dan guru sukan di sekolah lebih sesuai disandang guru lelaki," katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau mengulas laporan kelmarin mengenai kekurangan jumlah guru lelaki di kebanyakan sekolah seluruh negara menjadi faktor utama peningkatan masalah disiplin seperti dilaporkan akhbar kebelakangan ini.

Sementara itu, Alimuddin berkata, beliau akan ke Kuching, Sarawak Khamis ini untuk meninjau serta menyiasat sendiri kejadian buli membabitkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Oya, Dalat.

"Saya mahu berjumpa pihak sekolah dan pelajar terbabit bagi mendengar sendiri penjelasan sebelum mengambil sebarang tindakan terhadap mereka," katanya.

Berita Harian Online: 4 Mac 2009

Tiada ulasan: