Isnin, 17 Mei 2010

Bakal guru KPLI wajib ditemuduga

2010/05/17

SURUHANJAYA Perkhidmatan Pelajaran (SPP) merujuk surat Ibu Prihatin dari Pahang yang disiarkan di ruangan ini pada 6 Mei lalu bertajuk Guru Lepasan KPLI Tidak Wajar Jalani Temu Duga Pelantikan.

Untuk makluman Ibu Prihatin, SPP bertindak sebagai pihak berkuasa melantik dalam perkhidmatan pelajaran dengan menjalankan tugasnya mengikut Perkara 144(1) Perlembagaan Persekutuan.
Antara jawatan yang diuruskan oleh SPP untuk pelantikan tetap ke dalam perkhidmatan pelajaran ialah jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) Gred DG41 dan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) Gred DGA29.
Pelantikan ke jawatan di sektor awam adalah tertakluk kepada calon memenuhi syarat skim perkhidmatan bagi jawatan berkenaan.

Antara syarat yang diwajibkan untuk pelantikan tetap sebagai PPPS Gred DG41 ialah calon hendaklah memiliki diploma pendidikan yang diiktiraf oleh kerajaan.

Banyak institusi mengendalikan kursus diploma pendidikan, antaranya Kementerian Pelajaran di Institut Pendidikan Guru Malaysia.

Kaedah dan tatacara yang digunakan oleh pihak kementerian memilih calon yang layak untuk mengikuti kursus perguruan adalah ditetapkan sendiri oleh agensi berkenaan.
Selepas lulus diploma pendidikan, calon boleh memohon untuk pelantikan ke jawatan tetap PPPS Gred DG41. Dalam hal ini SPP menggunakan kaedah temu duga bagi memilih calon yang berkelayakan untuk pelantikan ke jawatan tetap.

Tujuan temu duga adalah memilih calon yang berkualiti dan berketrampilan untuk dilantik ke jawatan tetap.

Urusan temu duga yang dikendalikan SPP tidak saja berpandukan kepada skim perkhidmatan tetapi juga menilai dari aspek profesionalisme guru itu sendiri.

Temu duga untuk mengikuti kursus perguruan tidak sama dengan temu duga untuk lantikan tetap. Lulus kursus perguruan bukan satu jaminan bahawa calon layak dilantik ke jawatan tetap.

SURUHANJAYA PERKHIDMATAN PELAJARAN,
Putrajaya

Berita Harian Online: 17 Mei 2010

Tiada ulasan: