2010/05/14
KUANTAN: Lebih 15,000 dijangka hadir memeriahkan pelbagai program bersempena sambutan Hari Guru 2010 Peringkat Kebangsaan bertemakan ‘Guru Pembina Negara Bangsa - Terima Kasih Cikgu’ selama empat hari bermula semalam.Pahang yang menjadi tuan rumah sambutan ke-39 itu mengatur tiga program utama anjuran bersama Kementerian Pelajaran dan Jabatan Pelajaran negeri.
Sambutan itu bermula dengan Festival Hari Guru di East Coast Mall (ECM), diikuti Jamuan Makan Malam Negeri Selera Inderapura di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah dan pelancaran Hari Guru 2010 peringkat Kebangsaan di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang (UMP).
Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Datuk Aziz Abdul Latiff, berkata pelancaran itu dilakukan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ahad ini.
Katanya, Muhyiddin turut menyampaikan Anugerah Tokoh Guru dan Tokoh Kepemimpinan Guru pada majlis yang akan dihadiri lebih 3,000 orang termasuk guru dan pegawai pendidikan dari seluruh negara.
“Bagi memeriahkan sambutan, penganjuran Festival Guru di ECM selama empat hari bermula hari ini (semalam) mampu menarik lebih 10,000 pengunjung terutama pelajar dan guru.
“Pelbagai program disediakan kepada pelajar termasuk pertandingan syair dan fotografi 1Malaysia bagi menyemarakkan gagasan 1Malaysia,” katanya pada sidang media selepas melawat gerai pameran pendidikan itu, semalam.
Festival Hari Guru 2010 itu menyediakan 200 kaunter berkaitan produk pendidikan oleh institut pengajian tinggi (IPT) serta pameran buku, ceramah motivasi dan bengkel.
Selain itu, Abdul Aziz berkata, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob akan melancarkan buku `Pahit Manis Di Bumi Tok Gajah pada majlis makan malam dihadiri kira-kira 2,000 tetamu, malam esok.
Katanya, penyampaian Anugerah Guru Inovatif, Guru Pendidikan Khas, Guru Cemerlang Orang Kurang Upaya (OKU) , Individu Pra-Sekolah (rendah dan menengah) turut diadakan sempena majlis makan malam itu.
"Bagi memberkati sambutan itu, majlis solat hajat dan tahlil yang dihadiri 1,000 orang diadakan di Masjid Negeri Sultan Ahmad Satu malam ini (malam tadi)," katanya.
Berita harian Online: 14 Mei 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan