Isnin, 17 Mei 2010

Pengajaran lebih kreatif tarikan pelajar

Oleh Suliati Asri

2010/05/17

PEMBELAJARAN melalui eksperimen, reka cipta serta penyelidikan yang kini dilaksanakan melalui subjek sains turut meliputi kemahiran hidup dan keusahawanan sejajar pelaksanaan kurikulum baru.

TURUN PADANG...sistem pengajaran dan pembelajaran akan lebih efektif jika pelajar diberi penerangan sambil menunjukkan contoh mengenai sesuatu topik. - Gambar hiasan
TURUN PADANG...sistem pengajaran dan pembelajaran akan lebih efektif jika pelajar diberi penerangan sambil menunjukkan contoh mengenai sesuatu topik. - Gambar hiasan
sebelum - selepas
KREATIF...dengan pelaksanaan kurikulum baru, pelajar akan lebih kreatif dan berupaya berfikir dengan lebih jauh. - Gambar hiasan KERJASAMA...pelajar perlu dipupuk bekerja dalam kumpulan. - Gambar hiasan


KREATIF...dengan pelaksanaan kurikulum baru, pelajar akan lebih kreatif dan berupaya berfikir dengan lebih jauh. - Gambar hiasan
Menerusinya elemen kreatif, inovasi dan kemahiran hidup diterapkan dalam proses pengajaran, pembelajaran dan pengajaran dalam semua subjek.


Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin menurut laporan akhbar berkata, menerusi pelaksanaan kurikulum baru itu, strategi pengajaran dan pembelajaran bakal menggunakan pendekatan tertentu.


Ia membabitkan pendekatan penyelidikan membina, pembelajaran mengikut konteks serta penguasaan pembelajaran yang menggabungkan pelbagai teknik fokus.


Malah, ia turut merangkumi uji kaji, perbincangan rakan sebaya, rangsangan, lawatan lapangan dan aktiviti menyelesaikan masalah yang membolehkan aplikasi sumber di dalam dan di luar bilik darjah.


Namun, keberkesanan kurikulum baru ini bergantung kepada keupayaan guru memperbaiki amalan pengajaran dalam bilik darjah dan strategi yang harus diguna pakai.


Antaranya pendekatan pertanyaan yang membina, pembelajaran mengikut konteks serta penguasaan penuh yang menggabungkan pelbagai teknik berpusatkan pelajaran.


Bermakna guru perlu lebih inovatif dalam amalan pengajaran dan menggunakan pendekatan baru untuk merangsang pemikiran kreatif serta memacu potensi inovatif generasi muda.


Pelaksanaan kurikulum baru itu juga adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan menyediakan dan memperluaskan pendidikan berkualiti.

Persoalannya, sudahkah guru bersedia dan adakah mereka mampu melakukannya?

Berdasarkan bebanan guru yang semakin meruncing, tidakkah pelaksanaan ini menambahkan beban dan tekanan selain persoalan sejauh manakah aspek kualiti boleh ditampilkan?

Yang Dipertua Persatuan Kebangsaan Pengetua Malaysia, Azam Md Atan berkata, pelaksanaan kurikulum baru itu perlu dilakukan kerana guru pada masa ini perlu lebih inovatif dan kreatif dalam pengajaran.


Menurutnya, cara pengajaran dan pembelajaran di sekolah perlulah terkini dan tidak boleh terikat dengan modul lama kerana pemikiran pelajar sudah berubah.

"Kaedah yang digunakan kini lebih kepada teori, namun pada zaman serba baru ini, cara itu sudah ketinggalan kerana pelajar lebih agresif dalam pencarian ilmu.


"Sudah sampai masanya guru menggunakan mekanisme baru dengan menukar kaedah yang diguna pakai ke arah yang lebih inovasi, kreatif dan ke depan supaya pelajar juga tidak berasa bosan," katanya.


Pembelajaran subjek geografi umpamanya, pelajar lebih gemar maklumat berbentuk fizikal berbanding teori kerana mereka suka meneroka, bertanya dan melihat subjek yang dipamerkan termasuk tanah dan batuan.

"Jika teori saja, sudah tentu mereka bosan dan natijahnya bukan saja tidak berminat, malah boleh menyebabkan maklumat yang ingin disampaikan gagal.


"Tapi jika digabungkan dengan fizikal serta kerja luar, sudah tentu mereka suka dan berminat. Guru perlu tahu perbezaan ini, justeru pelaksanaan kurikulum itu memang bersesuaian dengan kehendak sektor pendidikan masa kini," katanya.


Azam berkata, guru berinovasi perlu bersedia kerana cabaran dunia pendidikan kini sebagai tinggi dan sukar.


"Zaman sudah jauh berubah, pelajar semakin kreatif dan ada kalanya guru gagal memberi jawapan dikehendaki.

"Mengendalikan pelajar perlukan persediaan yang kuat, bukan saja emosi tapi juga pengetahuan ilmiah. Guru jangan berpeluk tubuh, sebaliknya perlu 'bergerak' seiring permintaan dunia semasa," kata Azam.


Sementara itu, Guru Bahasa Melayu, Sekolah Menengah Agama Bestari Subang Jaya, Abdul Raouf Dahlan berkata, pelaksanaan kurikulum baru berkenaan lebih membebankan guru jika tugas remeh yang digalas tidak dimansuhkan.


"Kurikulum adalah tugas hakiki guru dan perlu dilaksanakan dengan cara terbaik. Bagaimanapun, dengan adanya tugas bukan hakiki guru seperti perkeranian, pelaksanaan ini lebih membebankan.


"Jika mahu melaksanakannya, tugas kurang penting itu wajar dimansuhkan supaya guru dapat beri sepenuh perhatian kepada pelaksanaannya," katanya.

myMetro: 17 Mei 2010

Tiada ulasan: