Selasa, 11 Mei 2010

Anugerah guru

Anugerah guru
Oleh Khairina Yasin
kayrina@bharian.com.my
2010/05/11

Empat tokoh dipilih berbanding tiga sebelum ini

EMPAT pendidik akan menerima Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan sempena Hari Guru 2010 yang bakal berlangsung di Kuantan, Pahang, Ahad ini berbanding hanya tiga penerima sebelum ini.

Setiausaha Jawatankuasa Induk dan Pengelola Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2010, Mohd Anuar Abdul Hamid, berkata penambahan jumlah penerima dibuat berdasarkan kelayakan calon terbabit memenuhi pelbagai kriteria pemilihan ditetapkan.

Katanya, pemilihan penerima anugerah mengambil kira kriteria termasuk sekurang-kurangnya calon pernah dianugerahkan Tokoh Guru peringkat negeri selain sumbangan dan baktinya dalam bidang pendidikan.

Selain itu, katanya, perayaan Hari Guru 2010 yang bakal berlangsung di Kuantan, Pahang selama tiga hari bermula 13 Mei ini turut menyenaraikan dua program baru diperkenalkan pada tahun ini iaitu majlis bacaan Yassin dan solat hajat serta Gotong Royong Perdana.

“Jika sebelum ini majlis bacaan Yassin dan solat hajat hanya dianjurkan hos pengelola perayaan Hari Guru, tahun ini kita babitkan semua negeri agar melaksanakan program mulia ini di masjid negeri masing-masing secara serentak pada 13 Mei ini bermula jam 7 malam.

“Di peringkat nasional, aktiviti itu akan berlangsung pada masa dan tarikh yang sama di Masjid Negara, Kuala Lumpur yang dijangka turut dihadiri Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi,” katanya.
Mengenai program Gotong-royong Perdana, katanya, ia juga akan dilaksanakan serentak di semua sekolah rendah dan menengah pada 15 Mei ini bermula jam 8.30 pagi.

Seperti terkandung dalam pekeliling pengurusan aktiviti dan program murid, beliau menjelaskan, program itu bukan bertujuan membebankan guru sebaliknya menjurus ke arah usaha menyemai ikatan kasih sayang, keprihatinan dan sokongan padu masyarakat kita kepada guru.

Katanya, kerjasama semua murid, ibu bapa dan kepemimpinan masyarakat dituntut bagi melaksanakan program ini bagi memastikan ikatan ukhuwah dan perpaduan dapat dibina melalui kegiatan berkenaan.

“Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dijadual akan hadir dan merasmikan majlis Sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan tahun ini di Kompleks Sukan, Universiti Malaysia Pahang pada 16 Mei ini.

“Kita menjangkakan kira-kira 3,000 warga pendidikan akan hadir pada majlis itu selain menyaksikan agenda utama yang pasti tidak ketinggalan pada setiap perayaan Hari Guru iaitu penyampaian Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan dan Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2010,” katanya.

Beliau menjelaskan, program lain yang turut diatur bagi memastikan perayaan Hari Guru peringkat kebangsaan kali ini lebih bermakna dan meriah termasuk Pameran Pendidikan di East Cost Mall, Kuantan dan Forum Pendidikan bagi mengupas tema Hari Guru yang akan dipengerusikan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan, Datuk Asariah Mior Shaharuddin.

Katanya, ahli panel forum pula terdiri dari Pengarah Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datuk Dr Mohd Yusof Othman, Prof Madya Dr Lim Swee Tin dari Universiti Putra Malaysia dan Dr S Nathesan (Universiti Terbuka Malaysia).

“Seterusnya, Jamuan Makan Malam Negeri di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah tajaan kerajaan negeri serta penyampaian Anugerah Guru Cemerlang Pendidikan Khas, Anugerah Guru Cemerlang Kurang Upaya dan Anugerah Guru Inovatif,” katanya.

Berita Harian Online: 11 Mei 2010

Tiada ulasan: