Isnin, 10 Mei 2010

Kementerian Pelajaran jawab Kasihanilah guru di pedalaman

KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada surat pembaca, Cikgu Yap, Sarawak dalam ruangan Forum di akhbar Utusan Malaysia bertarikh 11 Mac 2010 bertajuk Kasihanilah guru di pedalaman.

Kerajaan sedar penempatan ke pedalaman bukanlah menjadi pilihan utama kebanyakan guru. Hal ini kerana kemudahan asas di kawasan pedalaman tidak sesempurna seperti di bandar.

Situasi dan kesukaran di pedalaman sangat mencabar emosi dan minda guru yang ditempatkan di sana. Namun, murid-murid di pedalaman sangat memerlukan pendidikan berkualiti termasuklah mendapatkan khidmat guru terlatih yang berpengalaman.

Sesungguhnya KPM sedia maklum dan sentiasa menambah baik kemudahan dan insentif bagi mengurangkan tekanan ketika berkhidmat di pedalaman. Ini adalah komitmen kerajaan untuk merapatkan jurang antara sekolah di pedalaman dan di bandar.

Dalam menyediakan kemudahan dan kebajikan guru di pedalaman, sejumlah 116 projek bekalan air bersih di Sabah serta 211 projek di Sarawak sudah siap dilaksanakan dan 16 projek asrama pula dalam pembinaan dijangka siap akhir tahun ini.

Sehubungan itu, sejumlah 841 unit dan 414 projek rumah dibangunkan dalam tempoh PIPP 2006-2010. Dalam projek NKRA dan Bidang Keberhasilan Utama Kementerian (MKRA), kerajaan juga sedang berusaha membina rumah guru bagi memastikan guru di sekolah yang daif dan tidak selamat dapat menjalankan tugas dengan selesa.

Justeru, audit menyeluruh mengenai keperluan sekolah terutama di pedalaman akan dilaksanakan untuk mengetahui status sekolah terbabit, seterusnya menentukan tindakan bagi menyelesaikan masalah itu.

Kerajaan juga telah memberi dua elaun iaitu Elaun Khas Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan (EKMLTK) serta Elaun Balik Kampung (EBK) kepada guru dan anggota kumpulan sokongan yang berkhidmat di sekolah pedalaman.

EKMLTK melibatkan pembayaran kadar antara RM500 dan RM1,500 sebulan. Kira-kira 15,499 orang guru dan 3,797 orang anggota kumpulan sokongan perkhidmatan perguruan telah menikmati elaun tersebut yang melibatkan implikasi kewangan kepada kerajaan lebih RM187 juta setahun.

Selain itu pelbagai insentif lain telah ditambah baik. Antaranya ialah pengalaman berkhidmat di sekolah luar bandar dan pedalaman akan diambil kira dalam pertimbangan untuk kenaikan pangkat dan pemberian insentif lain, termasuk tawaran biasiswa untuk melanjutkan pengajian pada peringkat lebih tinggi.

Ganjaran itu merupakan antara bentuk dorongan baru untuk menggalakkan guru berkhidmat di kawasan berkenaan, selain sebagai penghargaan dan pengiktirafan terhadap pengorbanan mereka.

Bagaimanapun, pengalaman berkhidmat di pedalaman bukan bermakna guru terbabit akan mendapat kenaikan pangkat dan ganjaran lain secara automatik, sebaliknya ia memberi mereka kelebihan dalam pertimbangan yang turut bergantung kepada faktor penting lain.

Matlamat KPM adalah untuk menjadikan profesion keguruan dihormati dan dipandang tinggi sesuai dengan amanah yang dipikul dalam pembinaan generasi masa hadapan negara. Khusus kepada usaha melonjakkan pendidikan pedalaman bagi merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar supaya semua sekolah dan murid mempunyai peluang dan keupayaan untuk cemerlang melalui projek-projek berimpak tinggi meliputi aspek infrastruktur, peralatan, guru, kurikulum dan program bantuan serta khidmat sokongan.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT

Kementerian Pelajaran Malaysia

Utusan Malaysia Online: 10 Mei 2010

Tiada ulasan: