KUALA LUMPUR 15 Mei - Mana-mana sekolah yang mencatatkan peningkatan memberangsangkan dari sudut pencapaian akademik dan kokurikulum akan menerima imbuhan lumayan.
Imbuhan tersebut termasuk dalam bentuk kenaikan pangkat dan gaji pengetua, guru-guru serta semua pihak yang terlibat dalam usaha berkenaan selain mendapat pengiktirafan dari Kementerian Pelajaran.
Pengumuman mengenainya dijangka dibuat esok oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan di Kuantan.
Sehubungan itu, satu jawatankuasa akan ditubuhkan untuk memantau prestasi semua sekolah di negara ini dan penilaian akan dibuat secara menyeluruh untuk memastikan semua pihak di sekolah terlibat dalam usaha tersebut.
Ini bermakna jika ada pihak yang tidak terlibat dalam usaha mencatatkan kecemerlangan biar pun hanya seorang guru maka sekolah berkenaan tidak layak dipertimbangkan untuk mendapat keistimewaan itu.
Sementara itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran dalam pertemuan dengan Mingguan Malaysia kelmarin menyifatkan amanat beliau sempena Hari Guru sebagai yang terpenting dalam menentukan hala tuju profesion perguruan di negara ini.
Beliau berkata, untuk memartabatkan profesion perguruan, banyak cabang lain yang ada kaitan dengan usaha tersebut mesti diberi perhatian.
Katanya, masih banyak lompong termasuk dalam soal penyediaan kemudahan bagi guru-guru dan masalah tersebut mesti segera diatasi.
Beliau turut menarik perhatian mengenai dasar penempatan guru yang akan meningkatkan pengambilan guru-guru dari Sabah dan Sarawak di mana selepas tamat kursus mereka akan ditugaskan di kawasan masing-masing.
Langkah tersebut, katanya, bagi mengatasi masalah kekurangan guru di kawasan pedalaman terutama di kedua-dua negeri itu selain untuk memudahkan proses pembelajaran dan pengajaran murid-murid di kawasan berkenaan.Utusan Malaysia Online: 16 Mei 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan