Sabtu, 22 Mei 2010

NUTP tolak syor miliki lesen perguruan

2010/05/22

KUALA LUMPUR: Cadangan Kementerian Pelajaran untuk mensyaratkan guru memiliki lesen perguruan seperti kerjaya profesional lain tidak sesuai dilaksanakan kerana memerlukan kos pengurusan tinggi.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan, berkata negara belum bersedia untuk mengamalkan perkara itu kerana masih ada perkara lain membabitkan pendidikan yang masih belum mencukupi, termasuk prasarana..

Katanya, mewajibkan guru mempunyai lesen bermakna perlu ada badan atau unit khas yang perlu memantau perjalanan kaedah itu, termasuk memastikan guru yang tiada lesen, kehilangan lesen atau lesen palsu.

Keadaan ini memerlukan penguat kuasa di setiap negeri untuk memantau lebih 400,000 tenaga pengajar seluruh negara. Kira-kira 40 tahun lalu kerajaan memperkenalkan sistem sama yang dinamakan Buku Biru, tetapi dihentikan kerana kekangan ekonomi.

“NUTP berpendapat adalah lebih baik wang yang dicadangkan untuk membayar pekerja badan khas yang mengawal hal berkaitan lesen perguruan digunakan untuk memajukan bidang lain yang masih ketinggalan di sekolah terutama di luar bandar,” katanya di sini, malam tadi.

Beliau mengulas cadangan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi yang mencadangkan supaya mensyaratkan guru memiliki lesen perguruan, seperti doktor, peguam dan akauntan, bagi memelihara integriti profesion itu serta menjadikan sistem pendidikan negara bertaraf dunia.

Katanya, perkara itu tidak sesuai dilaksanakan di negara ini kerana guru berada di bawah seliaan Kementerian Pelajaran berbanding Kanada yang memerlukan setiap daerah menentukan pemilihan guru.

Berita Harian Online: 22 Mei 2010

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kenapa nak tolak...kan bagus buat begitu supaya guru yang bersungguh2 mahu jadi guru je yang layak menerina gaji dan imbuhan serta terlibat dlm profesyen ini...

jangan dijadikan perkara yang remeh temeh itu sbg alasan...ia bagus sebagai benchmark kpd guru...supaya tidaklah selalu menentang kerajaan n bpolitik..

Tanpa Nama berkata...

UTAMAKAN mengatasi "BEBAN TUGAS GURU" terlebih dahulu. Itu yg menjadi masalah besar skrg.