KUALA LUMPUR 17 Mei - Beberapa tokoh pendidik menyokong pemberian ganjaran wang tunai kepada guru yang berjaya meningkatkan prestasi sekolah dan menganggapnya sebagai suntikan motivasi kepada golongan tersebut.
Tokoh pendidik, Tan Sri Abdul Rahman Arshad berkata, pemberian insentif oleh kerajaan itu amat baik tetapi beliau berharap beberapa perkara penting perlu diberi pertimbangan sewajarnya.
Jelasnya, Kementerian Pelajaran perlu mengambil kira prestasi keseluruhan sesebuah sekolah dan bukan sekadar menilai keputusan peperiksaan besar untuk memberi ganjaran kepada para guru.
"Selain itu, guru-guru juga perlu lebih fokus kepada prestasi pelajar yang lemah dan bukannya terlalu terikat dengan aktiviti sampingan seperti mesyuarat persatuan di sekolah.
"Kita juga berharap, para guru akan lebih bersemangat untuk mengajar dengan adanya skim ganjaran seperti ini supaya mereka dapat membantu pelajar mengembangkan potensi masing-masing," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman ganjaran wang tunai oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam untuk pengetua, guru besar dan guru sempena sambutan Hari Guru 2010 semalam.
Muhyiddin berkata, ganjaran wang tunai sebanyak RM7,500 bagi pengetua dan guru besar sementara guru pula bakal menerima antara RM900 hingga RM1,800 jika sekolah mereka mencapai sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan Kementerian Pelajaran.
Seorang lagi tokoh pendidik, Profesor Emeritus, Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim berkata, idea insentif itu sangat bagus tetapi kejayaannya akan bergantung kepada pelaksanaan dan pemantauan prestasi guru secara berkala.
"Latihan di kalangan guru juga harus diteruskan bagi membolehkan mereka meningkatkan prestasi yang juga akan melonjakkan kualiti pendidikan dan prestasi sekolah.
"Pengetua dan guru besar pula harus memantau guru-guru di sekolah untuk memastikan mereka melaksanakan tugas dengan baik dan mampu membantu sekolah mencapai sasaran KPI serta ganjaran yang dijanjikan itu," ujarnya.
Kay Kim juga menyarankan Kementerian Pelajaran mendapatkan cadangan atau nasihat daripada pihak kesatuan guru yang berpengalaman dalam bidang perguruan sebelum membuat keputusan mengenai pelaksanaan insentif tersebutUtusan Malaysia Online: 18 Mei 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan