HARI guru datang lagi. Tahun lalu sambutannya di Kuala Terengganu dan tahun ini di East Coast Mall, Kuantan, Pahang bermula dari 13-16 Mei 2010. Sambutan ini adalah kali ke-39 diraikan di negara bertuah ini.
Sambutan Hari Guru bermula 1972 dengan tema: ''Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara'' dan pada tahun 2010 temanya ''Guru Pembina Negara Bangsa''.
Dalam hati kecil bekas guru warga emas ini, 40 tahun telah mengabdi diri dalam alam perguruan dari tahun 1952-1992, merasa seronok dan terharu bila saja menjelang hari meraikan para guru.
Rasa terharu di hati terutama bila menoleh ke belakang betapa sulitnya para pendidik dulu ketika berkhidmat untuk memberi pelajaran dan pendidikan kepada anak bangsa.
Pepatah lama ''Guru ibarat lilin, membakar diri menerangi orang lain'' bermaksud guru dulu terpaksa menempuh pelbagai kesukaran terutama berkhidmat di era kemerdekaan negara sebelum 31 Ogos 1957.
Ada yang terpaksa berjalan kaki untuk bertugas, dan ada terpaksa membimbit barang makanan untuk seminggu jika sekolah jauh dari kedai atau bandar. Terpaksa pula menyewa pondok buruk yang ditinggalkan untuk tempat tinggal, terpaksa menggali perigi sendiri kalau jauh dengan sungai.
Terpaksa mengajar di bangsal pisang sesikat atau di bawah rumah sekolah yang tinggi jika kelas tak cukup di bahagian atas sekolah.
Mereka juga terpaksa hanya menggunakan buku teks sekolah yang usang. Guru yang rajin menimba ilmu untuk murid mereka membelinya sendiri bila sekali sekala turun ke bandar.
Bagi orang sekarang atau lebih tepat lagi para pendidik sekarang, itu cerita lama yang sudah berkubur dan tak perlu di ungkit-ungkit lagi. Hanya membuang masa untuk dicoretkan atau dibacakan.
Tapi bagi yang mahu memikirkan untuk dijadikan sebagai iktibar, betapa senangnya para pendidik sekarang setelah lebih 50 tahun negara mencapai kemerdekaan. Hanya dapat saya unggapkan, kalau susah pun para pendidik menghadapi kerenah masyarakat dan disiplin pelajar sekarang, boleh berkata bahawa, mereka susah dalam senang. Itulah saya mengulang kata peribahasa yang tersebut di atas.
Tahun lalu saya menulis dalam akhbar ini pada 16 Mei 2009. Saya ada menyatakan bahawa pepatah di atas perlu ditambah dengan (dua lagi) pepatah lain, bagi melengkap peranan guru dalam masyarakat kini iaitu "Guru ibarat bunga, mewangikan dirinya di samping mewangikan orang lain''. Dan satu lagi, ''guru ibarat matahari, menerangi dirinya di samping itu menerangi orang lain."
Bunga sifatnya sangat sentimental. Tiap-tiap sekuntum bunga biasanya adalah wangi. Bagi dirinya wangi dan bagi orang yang menciumnya berbau harum dan wangi. Bunga yang berwarna-warni diibaratkan sebagai para guru yang disukai oleh orang ramai kerana budi pekertinya yang menarik.
Pokok bunga tersebut akan berbunga silih berganti, mengeluarkan benih yang akan menyambung hayatnya. Bagi guru begitulah hendaknya sentiasa mewangi anak bangsanya dan tak lupa lebih-lebih lagi anak mereka sendiri.
Boleh difikirkan untuk diambil iktibar oleh guru-guru sekarang walaupun mereka sudah mencapai kelulusan yang tinggi dalam ilmu perguruan.
Tahun 1960-an dan 1970-an, mereka telah mula merebut tempat untuk berjaya dalam pendidikan sebagai salah satu cara mengubah status di kalangan mereka sendiri atau dalam masyarakat secara keseluruhannya. Mereka memperbaiki diri dan anak-anak mereka menerusi pelajaran yang masih belum terbuka luas.
Bagi guru-guru yang telah mendapat kelulusan SPM atau STPM dengan cara belajar sendiri, cuba pula untuk memohon masuk ke universiti terutama Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia atau Universiti Sains Malaysia ataupun belajar melalui kursus gaya pos dari Univasitas Indonesia Jakarta (UNAS) anjuran Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB).
Saya sarankan juga bahawa guru juga boleh diibaratkan atau berperanan sebagai 'matahari'. Guru ibarat sebagai matahari, menerangi dirinya, di samping menerangi orang lain. Walaupun jauhnya matahari 93 juta tahun perjalanan, ia masih dengan kuasa Allah menerangi alam dan makhluknya.
Tahun 1980-an hingga 1990-an adalah zaman sains dan teknologi serta Internet. Para pendidik yang mengikut perubahan terpaksa pula melengkapkan diri di alam siber ini. Kalau tidak mereka akan ditinggalkan zaman yang ligat berputar di seluruh dunia.
Matahari dianugerahkan Allah sumber kehidupan termasuk dalam pendidikan. Rata-rata para pendidik kita mahir dalam melayari internet untuk membimbing para pelajar dan anak-anak mereka.
Sebagai warga emas, saya masih berminat dengan komputer dan pendidikan semasa, apatah lagi para pendidik sekarang yang saya percaya lebih berminat komputer untuk diri, anak bangsa serta anak-anak sendiri. Terangi mereka yang diamanahkan kepada guru dengan akal budi yang luhur di samping dapat memilih mana yang buruk dan yang baik.
Di zaman pendidikan saya, disiplin amat dipentingkan. Disiplin bermakna mengikut peraturan yang ditetapkan, bukan tergambar hanya merotan, bila sahaja disebut disiplin. Pendidikan sekarang berkonsepkan kaunseling.
Bagi saya kaunseling bermakna 'membimbing'. Membimbing anak bangsa kita dengan semangat (sifat) yang baik. Bila digabungkan disiplin dengan bimbingan, sepatutnya kita akan membuahkan manusia yang berbudi pekerti mulia dan berpelajaran tinggi.
Sepatutnya jangan adakan 'kuota' untuk guru disiplin dan kaunseling di sekolah. Adalah wajar tiap-tiap diri guru sekarang menjadi dan sanggup bertindak sebagai guru disiplin dan kaunseling.
Dalam kita memperkatakan konsep disiplin dan kaunseling ini, jangan sekali-kali lupa menggunakan pendekatan surah Al-Isra' ayat 23 dan surah Loqman ayat 18, tentang pembentukan sikap anak didik kita. Ringkasnya dua ayat di atas mengenai taat kepada Allah, Rasul dan ibu bapa di samping tidak bersikap sombong dan memandang rendah orang lain.
Dalam mengarah tuju pendidikan sekarang, jangan kita lupa sumbangan jasa Allahyarham Aminuddin Baki dan Pendita Zainal Abidin Ahmad (Zaaba).
Dalam sejarah, orang dulu adalah cermin kita sekarang dan orang tua sepatutnya menjadi tempat rujukan kita semua.
Penulis ialah bekas Guru Besar, SK Bandar Temerloh dan juga Tokoh Guru Temerloh 1998Utusan Malaysia Online: 13 Mei 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan