Sabtu, 8 Mei 2010

SMS ingin pergi...

Oleh Rashidi Karim

2010/05/08

KUALA PERLIS: Seorang guru hampir pengsan apabila menerima khidmat pesanan ringkas (SMS), daripada suaminya yang menyatakan dia ingin pergi buat selama-lamanya, sebelum mayat suaminya itu ditemui dipercayai akibat lemas di tepi pantai Kuala Sungai Baru, dekat sini, tengah hari semalam.

Selepas menerima SMS daripada suaminya pada kira-kira jam 9 pagi, Noriza Kassim, 37, yang juga guru di Sekolah Kebangsaan Tengku Budriah, Arau, pergi ke tepi pantai itu seorang diri dan menjerit-jerit memanggil nama suaminya itu.


Tindakannya menjerit nama suaminya, Zuki Ibrahim, 40, yang juga seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Saffi, dekat Simpang Empat, menarik perhatian orang ramai yang berada di situ sebelum gerakan mencari mangsa di kawasan terbabit dijalankan.


“Selepas menerima SMS itu, saya terus meninggalkan sekolah untuk ke pantai dan menjumpai kenderaan Proton Exora dan telefon bimbit milik suami. Daripada situ saya yakin, suami terjun ke laut seperti dinyatakan dalam SMS.


“Pada mulanya, saya menjangkakan SMS terakhir dihantar suami sebagai satu gurauan tetapi tidak sedap hati dan terus menghubunginya, namun tiada jawapan,” katanya yang sedih ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, semalam.


Mayat Zuki ditemui orang awam beberapa meter daripada tempat dia dipercayai turun ke laut sejurus meninggalkan kenderaan dipandunya di tepi pantai selepas menghantar SMS kepada isterinya.


Tiga anak pasangan guru berkenaan yang masih kecil iaitu berusia lima, sembilan dan 11 tahun hadir di bilik mayat HTF.


Hadir sama Pengarah Pelajaran negeri, Mansor Lat dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim.


Noriza berkata, suaminya tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika bersama anak di rumah pada malamnya dan pagi semalam, dia seperti biasa menghantar anak ke sekolah.

Bagaimanapun, katanya, Zuki ada mengadu tertekan dan tidak berpuas hati selepas dipindahkan dari SMK Padang Siding ke SMK Syed Saffi, dua bulan lalu.


“Dia mendakwa tertekan kerana tidak sesuai berada di sekolah baru berkenaan. Namun, saya langsung tidak menyangka dia sanggup mengambil tindakan sebegini, apatah lagi malam tadi dia kelihatan biasa saja terutama ketika bermain dengan tiga anak kami,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin, ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat mangsa. Bagaimanapun, punca sebenar kematian masih disiasat.


“Buat masa sekarang, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dihantar ke HTF untuk dibedah siasat,” katanya.

Difahamkan, usaha mencari dan menyelamat mangsa dimulakan pada jam 10 pagi membabitkan Agensi Penguat Kuasa Maritim Malaysia (APMM), Pasukan Gerakan Marin (PGM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), serta Unit K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM).


Sementara itu, Mansor mengesahkan Zuki ditukar ke sekolah lain sejak dua bulan tetapi disebabkan kenaikan pangkat dan pihaknya tidak menerima sebarang maklum balas daripadanya berhubung pertukaran terbabit.

myMetro: 8 Mei 2010

Tiada ulasan: