|
|
ALOR SETAR 13 Mei - Pelbagai cara dilakukan untuk menyatakan penghargaan atau ucapan terima kasih khususnya kepada tokoh atau sesiapa sahaja yang dirasakan telah banyak menabur jasa.
Namun, untuk berbuat demikian, ia tidak semestinya mengeluarkan kos atau perbelanjaan yang tinggi.
Memadai hanya dengan sekeping kad ucapan yang direka khas malah ia lebih simbolik lagi sebagaimana diilhamkan oleh pelajar dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Pauh, Jitra dekat sini.
Atas inisiatif guru-guru, kakitangan, pelajar dan ahli-ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, sekeping kad ucapan 'gergasi' telah dicipta sebagai menyatakan penghargaan kepada golongan pendidik yang akan meraikan Hari Guru pada 16 Mei ini.
Kad berukuran 90 x 120 sentimeter tersebut mengandungi tanda tangan kesemua 1,183 warga kerja dan pelajar SMK Tanjung Pauh.
Ia diserahkan kepada Pengarah Pelajaran Negeri Kedah, Shahidan Abdul Rahman oleh wakil mereka iaitu Penolong Kanan Pentadbiran SMK Tanjung Pauh, Mansor Man dalam satu majlis di Jabatan Pelajaran Negeri Kedah di sini, hari ini.
Mansor berkata, pihaknya terpanggil untuk menyatakan penghargaan kepada guru sempena dengan sambutan hari Guru pada tahun ini menerusi kad ucapan gergasi itu kerana ia cukup simbolik.
Menurut beliau, penghargaan seumpama itu membuatkan para guru merasa cukup tersentuh kerana merasakan diri mereka cukup dihargai oleh masyarakat khususnya di kalangan pelajar.
Kata beliau, untuk menyatakan penghargaan, ia tidak perlu berbelanja besar, malah cukup sekadar kad ucapan yang melambangkan keikhlasan seseorang dalam menyatakan penghargaan masing-masing.Utusan Malaysia Online: 14 Mei 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan